Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 1

Lukas 1:27-76

Help us?
Click on verse(s) to share them!
27kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maryam.
28Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, ‘Salam kepadamu yang amat diredai Allah! Tuhan bersamamu!’
29Hati Maryam runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut.
30Seterusnya, malaikat itu berkata kepadanya, ‘Janganlah takut, hai Maryam, kerana engkau telah diredai Allah.
31Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Isa.
32Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Putera Allah Yang Maha Tinggi. Allah, Tuhan kita akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya.
33Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaannya berkekalan.’
34Lalu Maryam berkata kepada malaikat itu, ‘Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?’
35Malaikat itu menjawab, “Roh Suci akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Putera Allah.
36Tambahan pula, saudaramu Ashba yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua.
37Sebab bagi Allah tidak ada yang mustahil.
38Maryam berkata, ‘Aku ini hamba Tuhan. Jadilah kepada aku mengikut kata-katamu itu.’ Lalu malaikat pun meninggalkannya.
39Setelah itu, Maryam bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yudea.
40Dia masuk ke dalam rumah Zakaria dan memberi salam kepada Ashba.
41Apabila Ashba mendengar salam Maryam, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Ashba dipenuhi Roh Suci.
42Dia berseru, ‘Diberkati engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu.
43Siapakah aku ini sehingga ibu Junjunganku datang kepadaku?
44Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan.
45Diberkatilah kamu kerana mempercayai apa yang dikatakan kepadamu daripada Tuhan akan berlaku!’
46Maryam berkata, ‘Jiwaku meninggikan Tuhan;
47rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku,
48kerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina ini. Dari sekarang hingga selama-lamanya, orang akan berkata aku diberkati,
49kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar untuk aku. Sucilah Nama-Nya.
50Dia memberkati mereka yang takut akan Dia, daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain.
51Dia telah menunjukkan kekuatan tangan-Nya; Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak.
52Dia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka dan mengangkat tinggi orang yang hina;
53Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong.
54Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya
55yang dijanjikan kepada nenek moyang kita Ibrahim dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.’
56Maryam tinggal bersama Ashba selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya.
57Tibalah masanya untuk Ashba bersalin dan dia melahirkan seorang anak lelaki.
58Apabila jiran tetangga dan saudara-maranya mendengar bahawa Tuhan telah melimpahkan berkat kepadanya, mereka turut bergembira bersamanya.
59Pada hari yang kelapan, mereka datang untuk menyunatkan bayi itu. Mereka mahu menamainya Zakaria seperti nama bapanya.
60Tetapi ibunya berkata, ‘Tidak! Namanya ialah Yahya.’
61Mereka berkata kepada Ashba, ‘Tiada seorang pun daripada kaum keluargamu yang bernama sedemikian.’
62Lalu mereka bertanya kepada bapanya dengan menggunakan isyarat nama yang hendak diberikan kepada anaknya itu.
63Dia meminta papan tulis lalu menulis demikian, ‘Namanya Yahya.’ Semuanya kehairanan.
64Pada seketika itu, mulut Zakaria terbuka dan lidahnya tidak terikat lalu dia bercakap dan memuji Allah.
65Semua jirannya sangat takut dan segala perkara ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea.
66Semua orang yang mendengarnya berkata dalam hati masing-masing, ‘Bagaimanakah gerangan halnya anak ini kelak?’ Jelaslah bahawa tangan Tuhan memimpinnya.
67Bapanya, Zakaria, dipenuhi dengan Roh Suci lalu berkata,
68‘Segala puji bagi Allah, Tuhan bangsa Israel! Kerana Dia telah datang dan menebus umat-Nya;
69Dia telah mengurniai kita seorang Penyelamat yang berkuasa, seorang daripada keturunan hamba-Nya, Daud.
70Demikianlah firman-Nya dengan perantaraan nabi-nabi-Nya yang suci dari zaman dahulu kala,
71Dia berjanji menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita, dan daripada tangan semua orang yang membenci kita;
72Dia mengasihani nenek moyang kita, dan mengingati perjanjian-Nya yang suci,
73Dia berjanji kepada nenek moyang kita, Ibrahim,
74untuk menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita supaya tanpa rasa takut kita beribadat kepada-Nya
75dalam kesucian dan kebenaran sepanjang hidup kita.
76Engkau, anakku, akan digelar nabi Allah Yang Maha Tinggi kerana engkau mendahului Tuhan demi menyediakan jalan-Nya,

Read Lukas 1Lukas 1
Compare Lukas 1:27-76Lukas 1:27-76