Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas

Lukas 10

Help us?
Click on verse(s) to share them!
1Setelah itu Junjungan memilih tujuh puluh orang pengikut lain dan menyuruh mereka pergi berdua-dua mendahului-Nya ke setiap bandar dan tempat yang akan dikunjungi-Nya.
2Dia berkata kepada mereka, ‘Hasil tuaian sungguh banyak tetapi penuai sedikit sahaja. Oleh itu, mintalah Tuan punya tuaian menyuruh lebih ramai penuai ke tempat tuaiannya.
3Pergilah kamu! Aku mengutus kamu pergi seperti anak domba ke tengah-tengah serigala.
4Janganlah bawa dompet atau beg sedekah atau kasut dan jangan berhenti di jalan untuk bersalam dengan sesiapapun.
5‘Apabila kamu memasuki sesebuah rumah, kamu hendaklah terlebih dahulu mengucapkan “Sejahteralah seisi rumah ini.”
6Jikalau orang yang tinggal di rumah itu layak menerima sejahtera, sejahteramu akan tetap padanya. Jika tidak, sejahteramu itu akan kembali kepadamu.
7Tinggallah di rumah yang sama, dan makan serta minum apa sahaja yang dihidangkan kerana orang yang bekerja itu layak mendapat upah. Jangan berpindah dari rumah ke rumah.
8‘Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu disambut, makanlah apa sahaja yang dihidangkan.
9Sembuhkan orang sakit yang ada di situ dan berkata kepada mereka, “Kerajaan Allah telah mendekati kamu.”
10Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu tidak disambut, kamu hendaklah keluar ke jalan dan berkata,
11“Debu bandarmu yang terlekat di kaki kami pun kami kebaskan sebagai bantahan terhadapmu. Tetapi ketahuilah bahawa kerajaan Allah telah mendekati kamu.”
12Aku berkata kepadamu bahawa pada hari pengadilan nanti, penduduk Sodom akan kurang sengsaranya daripada penduduk bandar itu.
13‘Malangnya kamu, penduduk Korazin! Malangnya kamu, penduduk Baitsaida! Jikalau mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu dilakukan di Tirus dan Sidon, sudah lama penduduk di situ bertaubat daripada dosa mereka dengan memakai baju kabung dan menaruh abu pada kepala.
14Penduduk Tirus dan Sidon akan kurang sengsaranya daripada kamu pada hari pengadilan nanti.
15Hai penduduk Kapernaum, adakah kamu akan ditinggikan sampai ke langit? Tidak, kamu akan dicampakkan ke dalam neraka!’
16‘Sesiapa yang mendengar kata-katamu mendengar kata-kata Aku; sesiapa yang menentangmu menentang Aku; dan sesiapa yang menentang Aku juga menentang Dia yang mengutus Aku.’
17Tujuh puluh orang pengikut itu kembali dengan sukacitanya dan berkata, ‘Ya Junjungan, demi nama-Mu segala roh iblis pun menurut perintah kami.’
18Isa berkata kepada mereka, ‘Aku melihat Iblis jatuh dari langit seperti kilat.

19Aku telah memberimu kuasa untuk memijak ular dan kala jengking serta kuasa atas segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa yang dapat mencederakan kamu.
20Tetapi jangan kamu bersukacita kerana segala roh iblis menurut perintahmu tetapi bersukacitalah kerana namamu tercatat di syurga.’
21Pada ketika itu, Isa bersukacita kerana dipenuhi dengan Roh Suci lalu berkata, ‘Ya Bapa yang memerintah langit dan bumi, Aku bersyukur kerana Engkau telah menunjukkan kepada orang yang seperti kanak-kanak apa yang Engkau sembunyikan daripada orang yang terpelajar dan pandai. Ya Bapa, ini dilakukan kerana sedemikianlah yang Engkau berkenan.
22‘Bapa-Ku telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tiada sesiapa mengenal siapa Putera kecuali Bapa; dan tiada sesiapa mengenal Bapa kecuali Putera serta mereka yang dipilih oleh Putera untuk menyatakan Bapa.’
23Isa berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya lalu berkata secara sulit, ‘Diberkatilah mata yang melihat segala perkara yang kamu lihat.
24Aku memberitahumu bahawa ramai nabi dan raja dahulu yang ingin melihat apa yang kamu lihat, tetapi tidak dapat melihatnya serta ingin mendengar apa yang kamu dengar, tetapi tidak dapat mendengarnya.’
25Seorang ahli Taurat datang dan cuba memerangkap Isa. Dia bertanya, ‘Tuan Guru, apakah yang patut aku buat supaya memperoleh hidup yang kekal?’
26Isa berkata, ‘Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah kamu mentafsirnya?’
27Ahli Taurat itu menjawab, ‘ “Engkau hendaklah mengasihi Allah, Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh kekuatanmu dan dengan sepenuh fikiranmu serta engkau hendaklah mengasihi sesama manusia seperti dirimu sendiri.” ’
28Isa berkata kepadanya, ‘Betullah jawapanmu. Berbuatlah demikian dan kamu akan hidup.’
29Tetapi dia hendak membela dirinya lalu dia berkata kepada Isa, ‘Siapakah sesama manusia itu?’
30Isa menjawab, ‘Ada seorang dalam perjalanan dari Baitulmaqdis ke Yerikho. Dia diserang oleh penyamun yang merompaknya dan membelasahnya sehingga setengah mati.
31Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya.
32Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya.
33Akan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan.
34Dia menghampiri si malang itu lalu membersihkan luka-lukanya dengan air anggur dan minyak serta membalut luka itu. Kemudian, dia menaikkan si malang itu ke atas keldai tunggangannya dan membawanya ke rumah tumpangan untuk terus merawatinya di situ.
35Pada keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan untuk perbelanjaan si malang itu sambil berkata, “Jagalah dia dan sekiranya wang ini tidak cukup untuknya, aku akan membayarnya apabila aku datang kembali.”’
36Isa berkata, ‘Antara tiga orang itu, siapakah pada pandangan kamu menjadi sesama manusia kepada orang yang dirompak oleh penyamun?’

37Ahli Taurat itu menjawab, ‘Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.’ Isa berkata, ‘Pergi dan berbuatlah sedemikian.’
38Isa dan pengikut-pengikut-Nya meneruskan perjalanan dan sampai di sebuah kampung. Seorang perempuan yang bernama Marta menyambut Dia ke rumahnya.
39Maryam, adik Marta, duduk sahaja untuk mendengar pengajaran Junjungan
40tetapi Marta pula sibuk melayani mereka. Marta menghampiri Isa dan berkata, ‘Junjungan, tidakkah Junjungan peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku.’
41Junjungan menjawab, ‘Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara.
42Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maryam telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya.’