Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Yahya - Yahya 10

Yahya 10:5-26

Help us?
Click on verse(s) to share them!
5Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malah akan lari daripadanya, kerana tidak mengenal suaranya.’
6Isa bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya.
7Oleh yang demikian, Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu.
8Orang yang datang sebelumku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka.
9Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput.
10Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup yang berlimpah-limpah.
11‘Akulah gembala yang baik, yang mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya.
12Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran.
13Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu.
14‘Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku,
15sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku.
16Ada domba-domba lain diluar kawanan ini yang Kumiliki. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.
17Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti.
18Sesiapapun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah tugas yang Kuterima daripada Bapa-Ku.’
19Setelah mendengar kata-kata Isa, orang Yahudi berselisih pendapat lagi.
20Sebilangan besar berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mendengar katanya?’
21Namun, ada yang berkata, ‘Orang yang dirasuk roh iblis tidak akan dapat bercakap begini. Dan bagaimanakah roh iblis dapat mencelikkan orang buta?’
22Di Baitulmaqdis, Perayaan Pentahbisan sedang disambut.
23Ketika itu musim sejuk, dan Isa sedang berjalan di serambi Sulaiman di dalam rumah ibadat.
24Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling-Nya lalu berkata, ‘Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas: Adakah Engkau ini al-Masih?’
25Isa menjawab, ‘Aku sudahpun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberi kesaksian tentang diri-Ku.
26Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku.

Read Yahya 10Yahya 10
Compare Yahya 10:5-26Yahya 10:5-26