Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 10:5-26 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 10:5-26 in Kitab Suci Zabur dan Injil

5 Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malah akan lari daripadanya, kerana tidak mengenal suaranya.’
6 Isa bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya.
7 Oleh yang demikian, Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu.
8 Orang yang datang sebelumku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka.
9 Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput.
10 Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup yang berlimpah-limpah.
11 ‘Akulah gembala yang baik, yang mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya.
12 Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran.
13 Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu.
14 ‘Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku,
15 sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku.
16 Ada domba-domba lain diluar kawanan ini yang Kumiliki. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.
17 Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti.
18 Sesiapapun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah tugas yang Kuterima daripada Bapa-Ku.’
19 Setelah mendengar kata-kata Isa, orang Yahudi berselisih pendapat lagi.
20 Sebilangan besar berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mendengar katanya?’
21 Namun, ada yang berkata, ‘Orang yang dirasuk roh iblis tidak akan dapat bercakap begini. Dan bagaimanakah roh iblis dapat mencelikkan orang buta?’
22 Di Baitulmaqdis, Perayaan Pentahbisan sedang disambut.
23 Ketika itu musim sejuk, dan Isa sedang berjalan di serambi Sulaiman di dalam rumah ibadat.
24 Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling-Nya lalu berkata, ‘Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas: Adakah Engkau ini al-Masih?’
25 Isa menjawab, ‘Aku sudahpun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberi kesaksian tentang diri-Ku.
26 Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku.
Yahya 10 in Kitab Suci Zabur dan Injil