67Bapanya, Zakaria, dipenuhi dengan Roh Suci lalu berkata,
68‘Segala puji bagi Allah, Tuhan bangsa Israel! Kerana Dia telah datang dan menebus umat-Nya;
69Dia telah mengurniai kita seorang Penyelamat yang berkuasa, seorang daripada keturunan hamba-Nya, Daud.
70Demikianlah firman-Nya dengan perantaraan nabi-nabi-Nya yang suci dari zaman dahulu kala,
71Dia berjanji menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita, dan daripada tangan semua orang yang membenci kita;
72Dia mengasihani nenek moyang kita, dan mengingati perjanjian-Nya yang suci,
73Dia berjanji kepada nenek moyang kita, Ibrahim,
74untuk menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita supaya tanpa rasa takut kita beribadat kepada-Nya
75dalam kesucian dan kebenaran sepanjang hidup kita.
76Engkau, anakku, akan digelar nabi Allah Yang Maha Tinggi kerana engkau mendahului Tuhan demi menyediakan jalan-Nya,
77dan memberitahu umat-Nya bahawa mereka diselamatkan apabila dosa mereka diampunkan.
78Oleh sebab Allah, Tuhan kita mengasihani kita, cahaya matahari akan terbit
79untuk menerangi orang yang tinggal dalam kegelapan dan bayang maut, serta memimpin kita ke jalan damai.’