Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 9

Lukas 9:31-62

Help us?
Click on verse(s) to share them!
31Mereka ialah Musa dan Ilyas yang kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dan mereka bercakap dengan Isa tentang kewafatan-Nya yang akan ditunaikan di Baitulmaqdis.
32Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Isa serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-Nya.
33Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Isa, Petrus berkata kepada-Nya, ‘Tuan, betapa bahagianya kami berada di sini. Biarlah kami membuat tiga buah khemah: sebuah untuk Tuan, sebuah untuk Musa dan sebuah lagi untuk Ilyas.’ Sebenarnya, dia tidak mengetahui apa yang dikatakannya itu.
34Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan.
35Lalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, ‘Inilah Putera-Ku yang Aku pilih. Dengarlah kata-kata-Nya!’
36Setelah suara itu berhenti, Isa kelihatan seorang sahaja. Pengikut-pengikut itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa jua apa yang telah disaksikan oleh mereka itu.
37Pada keesokan harinya, mereka turun dari bukit itu dan orang ramai bertemu dengan Isa.
38Seorang antaranya berseru, ‘Tuan Guru, tolonglah anakku kerana dia anak tunggalku.
39Dia dirasuk sesuatu roh lalu tiba-tiba dia berteriak dan tersentak-sentak sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya.
40Aku telah memohon pengikut-pengikut Tuan supaya mengusir roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.’
41Isa menjawab, ‘Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini! Berapa lamakah harus Aku bersama kamu dan bersabar terhadap kamu? Bawalah anakmu itu ke mari.’
42Semasa dia datang, roh durjana itu mencampakkannya ke tanah lalu membuatnya tersentak-sentak. Tetapi Isa memarahi roh durjana itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya.
43Semua orang tercengang menyaksikan keagungan Allah. Sementara semua orang masih hairan akan segala yang dibuat oleh Isa, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,
44‘Jangan lupa akan apa yang Aku katakan kepadamu ini: Putera Insan akan diserahkan ke tangan orang.’
45Mereka tidak mengetahui maksudnya kerana tersembunyi daripada mereka supaya mereka tidak memahaminya. Mereka takut pula bertanya kepada Isa tentang perkara itu.
46Mereka bertengkar sesama sendiri tentang siapa antara mereka yang terbesar.
47Isa mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di sisi-Nya.
48Isa berkata, ‘Sesiapa yang menerima kanak-kanak ini kerana Nama-Ku menerima Aku; dan sesiapa yang menerima Aku menerima Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang rendah sekali hatinya antara kamu semua – dialah yang terbesar!’
49Yahya berkata, ‘Tuan, kami telah melihat seorang yang mengusir roh-roh iblis dengan menggunakan Nama-Mu, dan kami melarang dia kerana dia tidak termasuk dalam golongan kami.’
50Isa berkata kepadanya, ‘Janganlah kamu larang dia. Orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.’
51Tatkala waktunya sudah dekat untuk Isa diangkat ke syurga, Dia menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Baitulmaqdis.
52Dia menyuruh beberapa utusan mendahului-Nya. Mereka pun masuk ke sebuah kampung orang Samaria untuk menyediakan tempat persinggahan bagi Isa.
53Tetapi orang Samaria tidak menerima Isa kerana Dia sedang menuju ke Baitulmaqdis.
54Ketika Yakobus dan Yahya, pengikut-pengikut Isa melihat perkara ini, mereka berkata, ‘Tuan, adakah Tuan mahu kami menyuruhkan api turun dari langit untuk membinasakan orang Samaria ini?’
55Isa berpaling dan memarahi mereka.
56Lalu mereka pergi ke sebuah kampung yang lain.
57Ketika mereka dalam perjalanan, seorang berkata kepada Isa, ‘Aku hendak mengikut Engkau ke mana sahaja Engkau pergi.’
58Isa berkata kepadanya, ‘Musang ada lubangnya dan burung ada sarangnya tetapi Putera Insan tiada tempat untuk meletakkan kepalanya.’
59Isa berkata kepada seorang yang lain, ‘Ikutlah Aku.’ Tetapi dia menjawab, ‘Biarlah aku pergi mengebumikan jenazah bapaku dahulu.’
60Isa berkata kepadanya, ‘Biarlah orang mati mengebumikan orang mati mereka; tetapi engkau pergilah menyampaikan perkhabaran tentang kerajaan Allah.’
61Seorang lain pula berkata, ‘Aku hendak mengikut Tuan, tetapi biarlah aku pergi mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluargaku terlebih dahulu.’
62Isa berkata kepadanya, ‘Tiada seorang pun yang mula membajak dan asyik menoleh ke belakang layak bagi kerajaan Allah.’

Read Lukas 9Lukas 9
Compare Lukas 9:31-62Lukas 9:31-62