Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Yahya - Yahya 13

Yahya 13:11-29

Help us?
Click on verse(s) to share them!
11(Isa tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, ‘Bukan semua yang bersih.’)
12Setelah membasuh kaki para pengikut-Nya, Isa memakai semula jubah-Nya lalu bertelekan di meja dan berkata kepada mereka, ‘Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu?
13Kamu memanggil-Ku Guru dan Junjungan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Junjungan.
14Jika Aku sebagai Junjungan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri.
15Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu.
16Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak mungkin lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya.
17Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.
18‘Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat di dalam Kitab Suci pasti terjadi, “Orang yang makan bersama-Ku akan berpaling menentang-Ku.”
19‘Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia.
20Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menyambut orang yang Kuutus, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut-Ku, menyambut Dia yang mengutus-Ku.’
21Setelah melafazkan kata-kata itu, Isa berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus-terang, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, salah seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.’
22Para pengikut Isa berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Isa.
23Salah seorang pengikut yang dikasihi oleh Isa bertelekan di sisi-Nya.
24Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, ‘Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.’
25Pengikut itu melayah dekat kepada Isa lalu bertanya, ‘Siapakah dia, ya Junjungan?’
26Isa menjawab, ‘Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya.’ Isa pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas anak Simon Iskariot.
27Sebaik-baik Yudas menerima roti itu, masuklah Iblis ke dalam hatinya. Isa pun berkata kepadanya, ‘Apa yang hendak kaulakukan, segeralah lakukan.’
28Tidak seorang pun yang makan di situ tahu apa maksudnya Isa berkata demikian kepada Yudas.
29Beberapa orang pengikut Isa menyangka Isa menyuruh Yudas membeli bekalan yang diperlukan untuk perayaan Paska, atau memberi sedekah kepada orang miskin kerana Yudas yang bertanggungjawab atas wang mereka.

Read Yahya 13Yahya 13
Compare Yahya 13:11-29Yahya 13:11-29