Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 8

Lukas 8:9-32

Help us?
Click on verse(s) to share them!
9Pengikut-pengikut Isa bertanya kepada-Nya, ‘Apakah erti ibarat ini?’
10Isa berkata, ‘Pengetahuan rahsia kerajaan Allah telah diberikan kepadamu, tetapi orang lain harus diberitahu dengan menggunakan ibarat supaya, ‘ “mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak mengerti.”
11‘Inilah maksud ibarat tadi: Benih itu ialah firman Allah.
12Benih yang jatuh di tepi jalan itu menggambarkan mereka yang mendengar firman itu tetapi kemudian Iblis datang dan mengambil firman itu daripada hati mereka supaya mereka tidak percaya dan diselamatkan.
13Benih yang jatuh di tempat berbatu itu menggambarkan mereka yang mendengar dan menyambut firman itu dengan gembira tetapi firman itu tidak berakar dalam hati mereka. Mereka itu hanya percaya untuk sementara waktu dan apabila waktu dicubai mereka akan meninggalkan kepercayaan mereka.
14Benih yang jatuh di tengah-tengah semak duri itu menggambarkan mereka yang telah mendengarnya, tetapi dalam hidup mereka sehari-hari mereka terhimpit oleh kekhuatiran dan kekayaan serta kesenangan hidup lalu mereka tidak mengeluarkan buah dengan sempurna.
15Benih yang jatuh di tanah yang baik menggambarkan mereka yang mendengar firman itu dan menyimpannya dalam hati yang tulus ikhlas lalu dengan ketekunan mereka terus mengeluarkan buah.
16‘Tiada seorang pun memasang pelita lalu menudungnya dengan sebuah pasu atau meletakkannya di bawah katil. Tetapi dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya cahayanya kelihatan kepada orang yang masuk ke ruang itu.
17Tiada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak didedahkan kelak; tiada sesuatu rahsia pun yang tidak diketahui kelak.
18Oleh sebab itu, berhati-hatilah bagaimana kamu mendengar. Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak ada, sedikit yang disangka ada padanya pun akan diambil daripadanya.’
19Ibu Isa dan adik-beradik-Nya datang kepada-Nya tetapi mereka tidak dapat bertemu dengan-Nya kerana kesesakan orang ramai.
20Isa diberitahu, ‘Ibu dan adik-beradik-Mu berada di luar dan hendak bertemu dengan-Mu.’
21Isa menjawab kepada mereka, ‘Ibu-Ku dan adik-beradik-Ku ialah mereka yang mendengar firman Allah dan melaksanakannya.’
22Pada suatu hari Isa bersama pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Isa berkata kepada mereka, ‘Marilah kita pergi ke seberang tasik.’ Lalu mereka bertolak.
23Ketika mereka sedang belayar, Isa tertidur. Angin ribut bertiup ke tasik itu dan perahu itu pun dimasuki air sehingga mereka cemas.
24Mereka pergi kepada Isa dan mengejutkan-Nya. Mereka berkata, ‘Tuan, Tuan, kita hampir tenggelam!’ Isa bangun lalu memarahi angin dan ombak yang bergelora itu. Ribut itu pun berhenti dan segalanya tenang.
25Isa berkata kepada mereka, ‘Di manakah imanmu?’ Mereka pun takut dan hairan serta berkata sesama sendiri, ‘Siapakah orang ini sehingga angin dan ombak pun menurut perintah-Nya?’
26Mereka belayar ke wilayah Gerasa yang di seberang Galilea.
27Setelah Isa mendarat, seorang lelaki dari bandar itu datang menemui-Nya. Orang itu telah dirasuk roh-roh iblis dan sudah lama dia tidak berpakaian. Dia tidak tinggal di rumahnya lagi tetapi di gua kubur.
28Ketika dia melihat Isa, dia berteriak lalu sujud di hadapan-Nya dan berkata dengan suara yang lantang, ‘Mengapakah Engkau mengganggu aku, ya Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi? Aku minta janganlah seksa aku.’
29Dia berkata demikian kerana Isa telah memerintah roh durjana itu keluar daripadanya. Dia seringkali dikuasai oleh roh durjana itu. Oleh sebab itu, dia dikawal ketat dan tangan serta kakinya dirantai orang. Tetapi dia dapat memutuskan rantai itu dan dibawa oleh roh durjana ke padang gurun.
30Isa bertanya kepadanya, ‘Siapakah namamu?’ Dia menjawab, ‘Legion’ kerana dia telah dirasuk oleh ramai roh iblis.
31Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya tidak menghalau mereka ke neraka.
32Kebetulannya, di bukit itu ada sekawan babi sedang makan. Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya Dia membenarkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu dan Isa membenarkannya.

Read Lukas 8Lukas 8
Compare Lukas 8:9-32Lukas 8:9-32