15Seperti mereka juga, aku berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian kelak, sama ada orang benar ataupun orang jahat.
16Oleh itu aku sentiasa berusaha supaya hatiku bersih daripada kesalahan kepada Allah dan kepada manusia.
17‘Selepas beberapa tahun di tempat-tempat lain, aku ke Baitulmaqdis membawa derma untuk bangsaku, dan mempersembahkan korban.
18Mereka mendapati aku di dalam rumah ibadat setelah aku menyucikan diri; aku tidak membawa kumpulan yang besar dan tidak mencetuskan huru-hara.
19Ketika itu ada beberapa orang Yahudi dari Asia. Merekalah yang patut menghadap kamu di sini untuk mendakwa, kalaulah ada sesuatu yang patut didakwa tentang aku.
20Ataupun biarlah orang ini menyatakan apa kesalahan yang didapatinya pada diriku ketika aku berdiri di hadapan majlis mereka itu.
21Pada waktu itu aku hanya melafazkan kata-kata yang sama, iaitu, “Tentang kebangkitan daripada kematianlah aku didakwa di hadapanmu pada hari ini.” ’
22Feliks menangguhkan perbicaraan walaupun dia memahami selok-belok agama berkenaan. Dia berkata, ‘Apabila Lisias, ketua pasukan tentera itu, datang nanti, aku akan menyelesaikan perkara ini.’
23Dia mengarahkan ketua tentera menahan Paulus tetapi secara longgar, dan membenarkan sahabat-sahabatnya membawa apa-apa untuknya.
24Beberapa hari kemudian, Feliks datang bersama isterinya Drusila, seorang Yahudi. Dia menyuruh orang memanggil Paulus lalu mendengar penerangannya tentang iman terhadap Isa al-Masih.
25Apabila Paulus bercakap tentang kebenaran, tentang penguasaan diri, dan tentang hukuman yang akan datang pada hari kemudian, Feliks ketakutan lalu berkata, ‘Pergilah sekarang. Apabila ada kesempatan nanti, aku akan memanggilmu lagi.’
26Dalam pada itu dia berharap Paulus akan memberikan wang kepadanya. Oleh itu dia kerapkali menyuruh orang memanggil Paulus lalu bercakap dengannya.