1Suatu alamat besar kelihatan di langit: Seorang perempuan yang berpakaian matahari, bulan di bawah kakinya dan dua belas bintang terkalung menghiasi kepalanya.
2Dia sedang hamil dan sudah sampai waktunya untuk melahirkan anak, maka dia berteriak kesakitan.
3Lantas suatu alamat muncul di langit: seekor naga merah yang amat besar, berkepala tujuh bertanduk sepuluh, setiap kepalanya bermahkota.
4Naga itu mengheret sepertiga bintang di langit dengan ekornya dan menghumbankannya ke bumi. Ia menunggu di hadapan perempuan yang hendak bersalin untuk menelan anaknya sebaik-baik dia lahir.
5Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki yang akan memerintah segala bangsa dengan perkasa. Dan anak itu dibawa ke hadirat Allah dan takhta-Nya.
6Perempuan itu lari ke gurun, ke tempat yang memang ditentukan Allah untuknya. Dia dijaga di situ selama seribu dua ratus enam puluh hari.
7Kemudian perang tercetus di syurga. Mikail dengan malaikat-malaikatnya berperang dengan naga dan malaikat-malaikatnya.
8Naga itu tewas dalam peperangan. Ia dan malaikat-malaikatnya tidak dibenarkan tinggal di syurga lagi.
9Dengan demikian tersingkirlah naga besar itu, ular purba yang bernama Iblis atau Syaitan, yang memperdaya umat manusia. Ia dan semua malaikatnya dibuang ke bumi.
10Kemudian aku mendengar suara lantang berkata di syurga, ‘Sekarang penyelamatan, kekuatan, kerajaan Allah Tuhan kita, dan kuasa al-Masih-Nya telah tiba; kerana penuduh saudara-saudara kita, yang telah menuduh mereka siang malam di hadapan Allah Tuhan kita telah disingkirkan.
11Mereka telah menumpaskannya dengan darah Anak Domba dan dengan kata-kata kesaksian mereka, dan mereka tidak menyayangi nyawa sendiri hingga mati.
12Oleh itu bergembiralah wahai syurga dan kamu semua yang tinggal di dalamnya! Tetapi malanglah penduduk bumi dan laut! Iblis telah turun kepadamu, dalam keadaan sangat berang, kerana ia tahu masanya sudah singkat.’
13Apabila naga itu sedar ia telah dibuang ke bumi, ia pun menganiayai perempuan yang melahirkan anak lelaki itu.
14Tetapi perempuan itu diberi sepasang sayap helang besar untuk terbang ke tempatnya di gurun. Di situ dia dijaga selama tiga tahun setengah jauh dari mata naga itu.
15Naga itu menyemburkan air dari mulutnya seperti air bah untuk menghanyutkan perempuan itu.
16Tetapi bumi membantu perempuan itu dengan membuka mulutnya dan menelan air bah yang disemburkan oleh naga itu.
17Naga itu amat marah terhadap perempuan itu lalu pergi memerangi anak-anaknya yang lain, yang taat kepada perintah Allah dan mempunyai kesaksian Isa al-Masih.