Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Markus - Markus 9

Markus 9:7-38

Help us?
Click on verse(s) to share them!
7Segumpal awan datang menaungi mereka. Suatu suara terdengar dari dalam awan itu, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya!’
8Tiba-tiba, ketika mereka memandang sekeliling, mereka tidak lagi melihat sesiapa di situ bersama mereka, selain Isa.
9Sewaktu berjalan turun dari gunung itu, Isa memperingatkan mereka supaya tidak memberitahu sesiapa segala yang telah mereka lihat, sehingga Putera Insan bangkit daripada kematian.
10Mereka mentaati pesan itu, sambil tertanya-tanya apa maksud ‘bangkit daripada kematian.’
11Mereka bertanya kepada Isa, ‘Mengapa guru-guru Taurat berkata Ilyas mesti datang dulu?’
12Isa menjawab, ‘Benar, Ilyas akan datang dulu dan memulihkan segala-galanya. Tetapi bagaimana dengan apa yang tersurat tentang Putera Insan, bahawa Dia akan banyak menanggung penderitaan dan penghinaan?
13Aku berkata kepadamu, Ilyas sudahpun datang dan orang memperlakukannya sesuka hati, tepat seperti yang tersurat tentang dirinya.’
14Apabila mereka pulang mendapatkan para pengikut yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan para pengikut Isa.
15Sebaik-baik orang ramai itu melihat Isa, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya.
16Isa bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?’
17Seorang daripada orang ramai itu menjawab, ‘Tuan Guru, aku membawa anakku kepada pengikut-pengikut-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu.
18Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon pengikut-pengikut-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.’
19Isa berkata kepada mereka, ‘Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lamakah aku mesti tinggal bersamamu? Berapa lamakah aku harus bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.’
20Mereka pun membawa anak itu kepada Isa. Sebaik-baik roh itu melihat Isa, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih.
21Isa bertanya kepada bapa anak itu, ‘Sejak bila dia begini?’ Bapa anak itu menjawab, ‘Sejak dia kecil lagi.
22Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.’
23Isa berkata kepadanya, ‘Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.’
24Bapa itu segera berseru, ‘Aku percaya; tolonglah agar aku lebih percaya lagi!’
25Ketika Isa melihat orang ramai datang berkerumun, Dia memerintah roh durjana itu, ‘Hai roh bisu tuli, Aku perintahkan kamu keluar daripada anak ini dan jangan memasukinya lagi.’
26Roh itu menjerit dan membuat tubuh anak itu terkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat lalu semua orang berkata, ‘Dia sudah mati.’
27Tetapi Isa memegang tangannya dan menolongnya bangun. Anak itu pun berdiri.
28Selepas itu Isa masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya, ‘Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?’
29Isa menjawab, ‘Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apapun, kecuali dengan doa.’
30Setelah itu Isa dan para pengikut-Nya beredar dari situ dan meneruskan perjalanan melalui Galilea. Dia tidak mahu orang tahu Dia di mana
31kerana Dia sedang mengajar para pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, ‘Putera Insan akan diserahkan ke dalam tangan manusia dan akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari Dia akan bangkit semula.’
32Mereka tidak faham erti kata-kata itu tetapi takut hendak bertanya kepada Isa.
33Mereka tiba di Kapernaum. Setelah tiba di rumah, Isa bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Apa yang kamu persoalkan di jalan tadi?’
34Mereka tidak menjawab, kerana dalam perjalanan mereka telah mempersoalkan siapa yang terbesar.
35Isa duduk lalu memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu. Dia berkata kepada mereka, ‘Kalau sesiapa ingin menjadi yang pertama, dia mestilah menjadi yang terakhir dan hamba kepada semua orang.’
36Selepas itu Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Dia mendakap kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka,
37‘Sesiapa yang menerima kanak-kanak seperti ini kerana-Ku, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Allah yang mengutus-Ku.’
38Yahya berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami melihat seorang lelaki menghalau roh-roh iblis dengan nama-Mu, lalu kami larang dia, kerana dia bukan dalam kumpulan kita.’

Read Markus 9Markus 9
Compare Markus 9:7-38Markus 9:7-38