1Surat ini daripada Paulus yang dipenjarakan kerana Isa al-Masih, juga daripada saudara kita Timotius, Surat ini ditujukan kepada Filemon, sahabat kami dan teman sekerja,
2kepada saudari kita Apfia, dan kepada rakan seperjuangan kita Arkhipus, serta kepada jemaah yang berhimpun di rumahmu:
3Semoga Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih menganugerahimu kasih kurnia dan sejahtera.
4Saudaraku Filemon, aku sentiasa bersyukur kepada Allah Tuhanku dan menyebut namamu di dalam doaku,
5kerana aku mendengar tentang imanmu kepada Junjungan Isa, dan kasihmu terhadap semua orang salih.
6Aku berdoa semoga persaudaraan kita sebagai orang yang beriman kepada al-Masih akan membawa pengertian yang lebih mendalam tentang segala yang baik yang kita miliki di dalam al-Masih.
7Saudaraku Filemon, kasihmu sungguh menggembirakan dan menggalakkan hatiku kerana kamu telah menyegarkan hati sekalian orang salih.
8Oleh itu, aku boleh memerintahkan kamu dengan nama al-Masih membuat sesuatu yang harus dilakukan.
9Namun demikian, kerana aku mengasihimu, aku hanya meminta kamu membuatnya. Aku Paulus, seorang yang sudah tua dan kini dipenjarakan kerana Isa al-Masih.
10Aku membuat permintaan ini bagi pihak Onesimus, yang telah kujadikan sebagai anakku sendiri sewaktu aku di dalam penjara.
11Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia berguna bukan sahaja bagimu malah juga bagiku.
12Aku menghantar kembali kepadamu Onesimus yang amat kukasihi.
13Sebenarnya aku mahu dia tetap bersamaku di sini untuk membantuku bagi pihakmu sepanjang tempoh aku dipenjarakan kerana menyebarkan Injil.
14Namun demikian, aku tidak mahu memaksa kamu membantuku. Biarlah bantuan itu kamu hulurkan dengan rela hati. Oleh itu aku tidak mahu berbuat apa-apa tanpa persetujuanmu.
15Mungkin Onesimus meninggalkanmu untuk sementara waktu supaya kamu mendapatnya kembali untuk selama-lamanya.
16Kini dia bukan hanya seorang hamba, dia saudara yang dikasihi. Dia amat bererti bagiku, dan tentulah lebih bererti bagimu, baik sebagai hamba mahupun sebagai saudara dalam Tuhan.
17Oleh itu, sekirannya kamu menganggapku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambutku.
18Jika ada kesalahannya atau hutangnya kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya.
19Lihatlah, kata-kata berikut kuterakan dengan tulisanku sendiri: Aku, Paulus, akan menyelesaikan segala-galanya – Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku dirimu sendiri.
20Oleh itu, demi Tuhan tolonglah aku dan gembirakan hatiku sebagai saudara seiman dalam al-Masih.
21Ketika menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan menunaikan permintaanku. Malah sebenarnya aku tahu bahawa lebih daripada yang kuminta itu pun akan kamu lakukan.
22Sementara itu, sediakanlah bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua semoga aku kembali kepadamu.
23Epafras, yang dipenjarakan bersamaku kerana Isa al-Masih, berkirim salam kepadamu.
24Juga sambutlah salam rakan-rakan seperjuanganku: Markus, Aristarkhus, Demas dan Lukas.
25Semoga kasih kurnia Junjungan Isa al-Masih menyertai roh kamu semua.