Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Yahya - Yahya 13

Yahya 13:2-25

Help us?
Click on verse(s) to share them!
2Semasa Isa dan pengikut-pengikut-Nya sedang makan malam, Iblis sudahpun menimbulkan niat di hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Isa.
3Isa tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya.
4Dengan demikian, Isa berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya.
5Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah besen lalu membasuh kaki para pengikut-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya.
6Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, ‘Junjungan, wajarkah Junjungan membasuh kakiku?’
7Isa menjawab, ‘Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti.’
8Petrus berkata kepada Isa, ‘Tidak! Junjungan sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!’ Namun, Isa menjawab, ‘Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan.’
9Simon Petrus berkata, ‘Junjungan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!’
10Isa berkata kepadanya, ‘Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu.’
11(Isa tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, ‘Bukan semua yang bersih.’)
12Setelah membasuh kaki para pengikut-Nya, Isa memakai semula jubah-Nya lalu bertelekan di meja dan berkata kepada mereka, ‘Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu?
13Kamu memanggil-Ku Guru dan Junjungan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Junjungan.
14Jika Aku sebagai Junjungan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri.
15Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu.
16Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak mungkin lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya.
17Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.
18‘Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat di dalam Kitab Suci pasti terjadi, “Orang yang makan bersama-Ku akan berpaling menentang-Ku.”
19‘Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia.
20Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menyambut orang yang Kuutus, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut-Ku, menyambut Dia yang mengutus-Ku.’
21Setelah melafazkan kata-kata itu, Isa berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus-terang, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, salah seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.’
22Para pengikut Isa berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Isa.
23Salah seorang pengikut yang dikasihi oleh Isa bertelekan di sisi-Nya.
24Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, ‘Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.’
25Pengikut itu melayah dekat kepada Isa lalu bertanya, ‘Siapakah dia, ya Junjungan?’

Read Yahya 13Yahya 13
Compare Yahya 13:2-25Yahya 13:2-25