Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Matius

Matius 6

Help us?
Click on verse(s) to share them!
1‘Ingatlah: Jangan buat kerja amal di muka umum supaya dilihat orang; kamu tidak akan mendapat ganjaran daripada Bapamu yang di syurga.
2‘Oleh itu, ketika kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan seperti orang munafik di saumaah dan di jalan raya, supaya dipuji orang. Orang begitu sudahpun mendapat ganjaran mereka.
3Apabila kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan sampai tangan kirimu tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananmu.
4Jangan siapapun mengetahuinya. Bapamu yang melihat amalmu yang tersembunyi itu akan memberikan ganjaran kepadamu.
5‘Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Mereka itu sudahpun mendapatkan ganjaran mereka.
6Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu.
7Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang.
8Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.
9‘Berdoalah demikian: “Ya Bapa kami yang di syurga, Sucilah Nama-Mu.
10Datanglah kerajaan-Mu. Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga.
11Berilah makanan kami untuk hari ini.
12Ampunkanlah kesalahan kami sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.
13Janganlah biarkan kami tergoda, Selamatkanlah kami daripada si durjana. Engkaulah yang memiliki kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.”
14‘Jika kamu mengampuni orang yang bersalah kepadamu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga.
15Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.
16‘Apabila kamu berpuasa, jangan tunjukkan muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa. Mereka ini sudahpun mendapat ganjaran mereka.
17Ketika berpuasa, basuhlah muka dan sikatlah rambutmu
18supaya orang tidak tahu kamu berpuasa. Biarlah puasamu hanya diketahui oleh Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan memberikan ganjaran kepadamu.

19‘Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya.
20Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya.
21Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.
22‘Mata ialah pelita tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu dipenuhi cahaya.
23Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu gelap. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, maka gelap-gelitalah keadaannya!
24‘Seorang hamba tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan.
25‘Oleh itu, janganlah runsing tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai untuk menutupnya. Bukankah hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian?
26Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai, menuai atau menyimpan hasil di jelapang; namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung?
27Siapakah di kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan bersikap runsing?
28‘Jadi, mengapakah kamu runsing tentang pakaian? Lihatlah bunga bakung di padang, yang tidak bekerja atau bertenun.
29Tetapi Raja Sulaiman dengan segala kehebatannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu.
30Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberimu pakaian? Sungguh tipis kepercayaanmu kepada-Nya!
31Jangan runsing tentang makanan, minuman atau pakaianmu.
32Kerunsingan ini dialami oleh orang yang tidak mengenal Allah. Bapamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu.
33Utamakanlah kerajaan Allah dan laksanakan kebenaran-Nya; Allah akan memberikan semua itu kepadamu.
34Oleh itu, jangan runsing tentang hari esok, kerana hari esok akan runsing tentang hal-halnya sendiri. Setiap hari sudah cukup dengan kesusahan sehari.