Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Matius

Matius 26

Help us?
Click on verse(s) to share them!
1Setelah selesai Isa menyampaikan semua ini, Dia pun berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,
2‘Kamu tahu bahawa dua hari lagi perayaan Paska menjelang, dan Putera Insan akan diserahkan untuk disalib.’
3Ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua berhimpun di rumah Imam Besar yang bernama Kayafas.
4Mereka berpakat untuk memperdaya Isa dan membunuh-Nya.
5Tetapi mereka berkata, ‘Janganlah dilakukan pada masa perayaan, takut orang ramai merusuh.’
6Apabila Isa berada di Betani di rumah Simon, yang menghidap penyakit kusta,
7seorang wanita mendekati-Nya dengan sebuah bekas alabaster berisi minyak wangi yang amat mahal, lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala-Nya ketika Dia sedang bertelekan di meja.
8Apabila pengikut-pengikut-Nya melihat perbuatan wanita itu, mereka marah lalu berkata, ‘Mengapa membazir begini?
9Minyak wangi ini boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin.’
10Tetapi apabila Isa mengetahui kemarahan mereka, Dia berkata, ‘Mengapakah kamu menyusahkan wanita ini? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku.
11Orang miskin akan sentiasa ada di sekelilingmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu.
12Dengan menuangkan minyak wangi ini ke atas tubuh-Ku, dia melakukannya untuk pengebumian-Ku.
13Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil ini disampaikan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.’
14Selepas itu, seorang daripada dua belas orang pengikut Isa, bernama Yudas Iskariot, pergi berjumpa dengan ketua-ketua imam.
15Dia berkata kepada mereka, ‘Apakah yang sanggup kamu berikan kepadaku kalau kuserahkan Dia kepadamu?’ Mereka memberinya tiga puluh keping wang perak.
16Sejak itu dia pun mencari peluang untuk mengkhianati Isa.
17Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Isa mendapatkan-Nya lalu berkata, ‘Di manakah Junjungan mahu kami sediakan jamuan Paska untuk-Mu?’
18Isa menyuruh mereka ke bandar, mencari seorang tertentu dan mengatakan kepadanya, ‘Guru berkata, “Masa-Ku sudah hampir; Aku akan menyambut perayaan Paska di rumahmu bersama para pengikut-Ku.” ’

19Pengikut-pengikut Isa menjalankan arahan-Nya lalu menyediakan jamuan perayaan Paska.
20Menjelang malam, Dia pun bertelekan di meja bersama pengikutnya yang dua belas itu.
21Sambil makan itu Dia berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.’
22Mereka sungguh berdukacita, dan setiap orang daripada mereka berkata kepada-Nya, ‘Junjungan, tentunya aku bukan orang itu?’
23Isa menjawab, ‘Orang yang mencecahkan tangannya bersama-Ku ke dalam bekas akan mengkhianati-Ku.
24Putera Insan memanglah harus pergi sebagaimana telah tersurat, tetapi malanglah orang yang mengkhianati-Nya! Lebih baik lagi bagi orang itu jika tidak dilahirkan.’
25Ketika itu Yudas yang akan mengkhianati-Nya bertanya, ‘Tuan Guru, akukah orangnya?’ Isa berkata kepadanya, ‘Kamu telah mengatakannya.’
26Ketika mereka sedang makan, Isa mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan membahagikannya kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, ‘Ambil dan makanlah, ini tubuh-Ku.’
27Kemudian Dia mengambil cawan air anggur dan mengucap syukur kepada Allah lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, ‘Minumlah darinya, kamu semua.
28Kerana ini darah-Ku bagi perjanjian baru, ditumpahkan untuk umat manusia supaya hapus dosa mereka.
29Tetapi, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur dari saat ini hinggalah hari Aku minum air anggur bersamamu dalam kerajaan Bapa-Ku.’
30Setelah menyanyikan sebuah lagu suci mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.
31Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu semua akan goyah kerana-Ku malam ini, sebagaimana telah tersurat: “Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.”
32‘Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.’
33Petrus menjawab, ‘Kalaupun semua yang lain goyah kerana-Mu, Junjungan, aku tidak akan goyah.’
34Isa berkata kepadanya, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini juga, sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.’
35Petrus berkata kepada Isa, ‘Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu, Junjungan!’ Demikian jugalah kata pengikut-pengikut-Nya yang sebelas orang lagi.
36Selepas itu Isa pergi bersama mereka ke sebuah tempat bernama Getsemani, lalu Dia berkata kepada mereka, ‘Duduklah di sini sementara Aku berdoa di sana.’

37Isa membawa bersama-Nya Petrus dan kedua-dua anak Zebedeus. Dia mula berdukacita dan amat berpilu hati.
38Dia berkata kepada mereka, ‘Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini berjaga bersama-Ku.’
39Isa pergi jauh sedikit dari situ lalu sujud menyembamkan muka ke tanah dan berdoa, ‘Ya Bapa-Ku, kalaulah dapat, edarkanlah cawan ini daripada-Ku; namun, biarlah kehendak-Mu berlaku, bukan kehendak-Ku.’
40Kemudian Dia pergi kepada pengikut-pengikut-Nya dan mendapati mereka telah tertidur; lalu Dia berkata kepada Petrus, ‘Apa? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga bersama-Ku?’
41Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.’
42Bagi kali kedua, Dia pergi dan berdoa, ‘Ya Bapa-Ku, jika cawan ini tidak mungkin beredar daripada-Ku melainkan Kuminum, biarlah kehendak-Mu berlaku.’
43Selepas itu Dia mendapati mereka tidur lagi, kerana mata mereka sungguh mengantuk.
44Dia pun meninggalkan mereka dan pergi berdoa lagi, bagi kali ketiga. Dia mengucapkan kata-kata yang sama.
45Setelah itu Dia mendapatkan pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, ‘Adakah kamu masih tidur dan berehat? Lihatlah, masanya telah menjelang, dan Putera Insan sedang dikhianati untuk diserahkan ke tangan orang berdosa.
46Bangunlah, ayuh kita pergi. Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba.’
47Ketika Dia sedang berkata-kata itu, seorang daripada pengikut-Nya yang dua belas, Yudas, datang diiringi orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam dan tua-tua.
48Pengkhianat Isa telah menyatakan isyarat kepada mereka, ‘Yang kucium nanti, itulah orangnya; tangkaplah Dia.’
49Dengan segera dia menghampiri Isa sambil berkata, ‘Selamat sejahtera, Tuan Guru!’ lalu mencium-Nya.
50Isa berkata kepadanya, ‘Kawan, mengapakah kamu datang?’ Orang ramai itu pun menangkap Isa.
51Tiba-tiba seorang pengikut Isa menghunus pedangnya lalu menetak hamba Imam Besar, sehingga telinganya putus.
52Tetapi Isa berkata kepada pengikut-Nya itu, ‘Simpan semula pedangmu di tempatnya yang wajar, kerana semua yang menggunakan pedang akan musnah dimakan pedang.
53Adakah kamu sangka Aku tidak boleh berdoa supaya Bapa-Ku menghantar lebih daripada dua belas tentera malaikat untuk menolong-Ku?
54Bukankah kejadian ini mesti berlaku supaya yang tersurat di dalam Kitab Suci ternyata benar?’

55Kemudian Isa berkata kepada orang ramai itu, ‘Patutkah kamu datang, bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Hari demi hari Aku duduk bersamamu, mengajar di rumah ibadat, dan kamu tidak menangkap-Ku.
56Tetapi segala ini dilakukan untuk menunaikan apa yang tersurat di dalam kitab nabi-nabi.’ Setelah itu semua pengikut Isa meninggalkan-Nya, masing-masing melarikan diri.
57Orang yang menangkap Isa membawa-Nya kepada Kayafas, Imam Besar. Di situ guru-guru Taurat dan tua-tua telah berhimpun.
58Petrus mengikut dari jauh ke bahagian laman dalam rumah Imam Besar, lalu masuk dan duduk di kalangan hamba-hamba di situ untuk melihat kesudahan perkara itu.
59Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama telah mencari kesaksian palsu terhadap Isa supaya dapat membunuh-Nya.
60Tetapi mereka tidak berjaya. Sungguhpun ramai saksi palsu yang tampil, tidak didapati kesaksian yang dikehendaki itu. Akhirnya dua orang saksi tampil
61dengan kesaksian: ‘Orang ini telah berkata, “Aku dapat memusnahkan rumah Allah dan membinanya semula dalam tiga hari.”’
62Imam Besar berdiri lalu berkata kepada Isa, ‘Tidakkah kamu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh dua orang ini terhadap-Mu?’
63Tetapi Isa berdiam diri. Imam Besar berkata kepada-Nya, ‘Demi Allah yang hidup, katakan kepada kami, adakah kamu ini al-Masih, Putera Allah?’
64Isa berkata kepadanya, ‘Benarlah seperti katamu. Namun, Aku berkata kepadamu, kemudian hari kelak kamu akan melihat Putera Insan duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di atas langit.’
65Kemudian Imam Besar mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, ‘Dia telah melafazkan kata-kata kufur! Apa perlunya saksi lagi? Sekarang kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya!
66Bagaimana pendapatmu?’ Mereka menjawab, ‘Dia patut dibunuh.’
67Setelah itu mereka meludah muka-Nya dan memukul-Nya. Ada yang menampar-Nya.
68Mereka berkata, ‘Bernubuatlah pada kami, hai al-Masih! Siapa yang memukul-Mu?’
69Sedang Petrus duduk di laman dalam rumah itu, seorang hamba perempuan datang dan berkata kepadanya, ‘Kamu pun bersama Isa dari Galilea.’
70Tetapi Petrus menyangkal di hadapan mereka semua, ‘Aku tak tahu apa yang kaukatakan itu.’
71Setelah Petrus pergi ke luar ke pintu gerbang, seorang perempuan lagi melihatnya dan berkata kepada orang di situ, ‘Orang ini pun bersama Isa orang Nasaret.’
72Petrus menyangkal lagi sambil bersumpah, ‘Aku tak kenal orang itu!’

73Tidak lama kemudian orang yang berdiri-diri di situ menghampiri Petrus dan berkata kepadanya, ‘Sudah tentu kamu juga seorang daripada mereka; ini jelas daripada loghatmu.’
74Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, ‘Aku tak kenal orang itu!’ Serta-merta ayam berkokok.
75Lalu Petrus teringat kata-kata Isa kepadanya, ‘Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.’ Petrus pun keluar dari situ lalu menangis dengan amat kesalnya.