Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Matius

Matius 27

Help us?
Click on verse(s) to share them!
1Setelah siang, semua ketua imam dan tua-tua berpakat untuk membunuh Isa.
2Mereka menyuruh orang mengikat-Nya. Kemudian mereka membawa-Nya lalu menyerahkan-Nya kepada gabenor, Pontius Pilatus.
3Apabila Yudas yang mengkhianati-Nya melihat bahawa Isa telah dijatuhi hukum mati, dia menyesali perbuatannya lalu mengembalikan tiga puluh keping wang perak ke hadapan ketua-ketua imam dan tua-tua.
4Yudas berkata, ‘Aku berdosa menyebabkan tumpahnya darah orang yang tidak bersalah.’ Kata mereka, ‘Apa kami peduli? Tanganilah sendiri!’
5Yudas pun mencampakkan keping-keping wang perak itu ke dalam rumah ibadat lalu pergi menggantung dirinya.
6Ketua-ketua imam memungut wang perak itu lalu berkata, ‘Menurut hukum, kita tidak boleh memasukkan wang ini ke dalam perbendaharaan rumah ibadat, kerana wang ini harga darah.’
7Mereka bermesyuarat lalu menggunakan wang itu untuk membeli ladang tukang tembikar bagi dijadikan tempat perkuburan orang asing.
8Oleh itu padang tersebut dipanggil Padang Darah hingga hari ini.
9Dengan demikian berlakulah kata-kata Nabi Yeremia: ‘Maka mereka pun mengambil tiga puluh keping wang perak itu, harga Dia yang telah dinilai oleh anak-anak Israel,
10lalu membeli padang untuk pengebumian orang asing, demikian firman Tuhan kepadaku.’
11Gabenor bertanya kepada Isa yang berdiri di hadapannya, ‘Adakah Kamu Raja orang Yahudi?’ Isa berkata, ‘Begitulah seperti katamu.’
12Ketika Dia dituduh oleh ketua-ketua imam dan tua-tua, Dia tidak berkata suatu apa.
13Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Tidakkah kamu dengar betapa banyaknya tuduhan terhadapmu dalam kesaksian mereka?’
14Tetapi Isa tidak berkata sepatah pun, sehingga amat hairan gabenor melihat-Nya.
15Pada perayaan Paska, lazimnya gabenor membebaskan dari penjara seorang yang dikehendaki oleh orang ramai.
16Pada masa itu ada seorang banduan yang terkenal jahatnya, bernama Barabas.
17Setelah mereka berhimpun, Pilatus bertanya, ‘Yang mana kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu, Barabas atau Isa yang dipanggil al-Masih?’
18Gabenor mengetahui bahawa mereka telah menyerahkan Isa kepadanya kerana iri hati.

19Sedang gabenor duduk di atas kerusi penghakiman, isterinya berkirim pesan kepadanya, ‘Jangan apa-apakan orang yang tidak bersalah; hari ini aku banyak menanggung azab dalam mimpi kerana-Nya.’
20Tetapi ketua-ketua hakim dan tua-tua dapat meyakinkan orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan dan Isa dibunuh.
21Gabenor berkata kepada mereka, ‘Yang mana antara dua orang ini kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu?’ Mereka menjawab, ‘Barabas!’
22Pilatus bertanya kepada mereka, ‘Jadi, apa yang harus kubuat dengan Isa yang dipanggil al-Masih?’ Kesemua mereka berkata kepadanya, ‘Salibkan Dia!’
23Gabenor berkata, ‘Mengapa, apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?’ Tetapi mereka berseru semakin lantang, ‘Salibkan Dia!’
24Apabila Pilatus melihat bahawa dia tidak dapat mempengaruhi mereka malah mereka mula hendak merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai itu sambil berkata, ‘Aku bebas daripada kesalahan menumpahkan darah orang yang baik ini. Kamu tanganilah sendiri.’
25Kesemua mereka menjawab, ‘Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami.”
26Pilatus pun membebaskan Barabas kepada mereka; dan setelah menyesah Isa, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.
27Kemudian askar-askar gabenor membawa Isa ke balai istananya dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ.
28Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya.
29Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Isa dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, ‘Hai Raja orang Yahudi!’
30Selepas itu mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu.
31Setelah selesai mereka mempermainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib.
32Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Isa.
33Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak.
34Di situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum.
35Selepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaiannya dengan membuang undi, maka berlakulah seperti yang di nubuatkan: ‘Mereka bahagikan pakaian-Ku antara mereka, untuk mendapat pakaian-Ku mereka membuang undi.’
36Kemudian mereka duduk berjaga di situ.

37Di atas kayu salib Isa mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya: INILAH ISA RAJA ORANG YAHUDI.
38Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.
39Orang yang lalu di situ melemparkan kata-kata kufur kepada-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala
40mereka berkata, ‘Engkau dapat memusnahkan rumah ibadat dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Putera Allah, turunlah dari kayu salib itu.’
41Begitu jugalah ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua, turut mengejek Isa:
42‘Dia telah menyelamatkan orang lain; diri-Nya sendiri tidak dapat diselamatkan-Nya. Kalau benar dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya.
43Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, “Aku Putera Allah.”’
44Perompak yang disalib bersama Isa pun menghina-Nya dengan kata-kata demikian.
45Dari tengah hari hingga tiga petang, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan.
46Kira-kira pukul tiga petang, Isa berseru dengan suara yang lantang, ‘Eloi, Eloi, lama sabakhtani?’ maksudnya ‘Ya Allah, Ya Tuhan-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?’
47Sesetengah orang yang berdiri di situ berkata, apabila mendengar seruan-Nya itu, ‘Orang ini memanggil Ilyas.’
48Serta-merta seorang daripada mereka mengambil span, memenuhinya dengan air anggur masam dan meletakkannya pada mensiang lalu menawarkannya kepada Isa sebagai minuman.
49Yang lain berkata, ‘Jangan hiraukan Dia; mari kita lihat kalau Ilyas datang menyelamatkan-Nya.’
50Isa berseru lantang sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir.
51Sejurus itu tirai rumah ibadat koyak dari atas ke bawah, bumi digegar gempa dan batu-batu pejal terbelah;
52kubur-kubur terbuka; dan banyak jenazah orang yang taat akan Allah dibangkitkan semula;
53mereka keluar dari kubur dan selepas Isa dibangkitkan semula, mereka masuk ke kota suci itu dan menampakkan diri kepada sebilangan besar orang di situ.
54Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Isa melihat gempa bumi serta kejadian-kejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, ‘Benarlah Dia Putera Allah!’

55Ramai wanita yang telah mengikut Isa dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh.
56Antara mereka ialah Maryam Magdalena dan Maryam ibu kepada Yakobus dan Yusuf serta ibu kepada anak-anak Zebedeus.
57Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi pengikut Isa.
58Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Isa. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya.
59Yusuf mengambil jenazah itu dan mengkafankannya dengan kain linen yang bersih.
60Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ.
61Ketika itu Maryam Magdalena ada di situ, begitu juga Maryam yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu.
62Pada keesokannya, iaitu sehari selepas Hari Persediaan, ketua-ketua imam dan orang Farisi datang beramai-ramai menghadap Pilatus.
63Mereka berkata, ‘Tuan, kami teringat, sewaktu Dia masih hidup si penipu itu ada berkata, “Selepas tiga hari Aku akan bangkit.”
64Oleh itu, silalah tuan perintahkan supaya dipastikan makam-Nya tidak dapat dibuka hingga tamat hari ketiga. Kami takut kalau-kalau para pengikut-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya dibawa pergi, lalu berkata kepada orang ramai, “Dia telah bangkit daripada kematian.” Penipuan ini pasti lebih dahsyat daripada penipuan pertama.’
65Pilatus berkata kepada mereka, ‘Bawalah beberapa pengawal. Pergilah sendiri, buat apa yang kamu fikirkan perlu untuk menjaga makam itu.’
66Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ.