Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Markus - Markus 6

Markus 6:5-38

Help us?
Click on verse(s) to share them!
5Dia tidak dapat melakukan satu mukjizat pun di situ. Dia hanya menyembuhkan beberapa orang sakit dengan meletakkan tangan-Nya pada mereka.
6Dia sungguh hairan bahawa mereka tidak percaya. Selepas itu, Isa pergi ke kampung-kampung di sekitar itu dan mengajar.
7Dia memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu, lalu mengutus mereka berdua-dua, serta memberi mereka kuasa atas roh-roh durjana.
8Perintah-Nya kepada mereka demikian: ‘Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat – roti pun jangan, beg pun jangan, wang dalam ikat pinggang pun jangan.
9Pakailah capal, tetapi sehelai baju sahaja.’
10Isa berkata lagi, ‘Apabila kamu disambut di sesebuah rumah, tinggallah di situ hingga kamu beredar dari kota itu.
11Sebaliknya, jika penduduk sesuatu kota enggan menerimamu atau mendengar kata-katamu, pergilah dari situ dan kebaskan debu daripada tapak kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.’
12Pengikut Isa yang dua belas itu pun pergi menyampaikan berita bahawa manusia harus bertaubat.
13Mereka menghalau banyak roh iblis, dan menyapukan minyak pada ramai orang sakit serta menyembuhkan mereka.
14Raja Herodes mendengar tentang kejadian itu, kerana nama Isa sudah terkenal di mana-mana. Ada orang berkata, ‘Yahya Pengimad sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia ini berkuasa melakukan mukjizat.’
15Yang lain berkata, ‘Dia ini Ilyas.’ Ada pula yang berkata, ‘Dia ini nabi, seperti nabi zaman dahulu.’
16Ketika mendengar hal demikian, Herodes berkata, ‘Dia itu Yahya yang kepalanya telah kupancung, tetapi dia hidup semula!’
17Ini kerana memang Herodes telah memberikan perintah supaya Yahya ditangkap, diikat dan dipenjarakan. Herodes berbuat demikian kerana Herodias, isteri kepada saudaranya Filipus, yang telah dikahwininya.
18Yahya pernah menegur perbuatan Herodes itu, ‘Tuanku bersalah mengahwini isteri saudara sendiri.’
19Akibatnya Herodias menaruh dendam terhadap Yahya dan ingin membunuhnya, tetapi hasratnya terhalang,
20sebab Herodes takut akan Yahya. Herodes tahu Yahya seorang yang benar dan suci, oleh itu dia melindungi Yahya. Herodes juga suka mendengar kata-kata Yahya, meskipun kata-kata itu membuatnya sangat gelisah.
21Akhirnya Herodias mendapat peluang apabila Raja Herodes mengadakan jamuan hari jadinya untuk semua pegawai tinggi kerajaan, panglima dan tokoh masyarakat Galilea.
22Anak gadis Herodias menari dan menghiburkan Herodes serta tetamunya. Oleh itu raja berkata kepada gadis itu, ‘Mintalah daripadaku apa saja yang kamu ingini dan akan kuberikan kepadamu.’
23Dia menyambung dengan sumpah, ‘Apa sahaja yang kamu minta akan kuberi kepadamu, walau separuh kerajaanku sekalipun.’
24Gadis itu pergi bertanya kepada ibunya, ‘Apakah yang patut kuminta?’ Jawabnya, ‘Kepala Yahya Pengimad.’
25Gadis itu segera kembali kepada raja dan berkata, ‘Aku mahu kamu beri kepadaku kepala Yahya Pengimad di atas talam sekarang juga.’
26Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya.
27Dia pun memberikan perintah kepada askar supaya membawakan kepala Yahya. Askar itu pergi ke penjara lalu memancung kepala Yahya.
28Dia membawa kepala itu di atas talam dan menyerahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya.
29Apabila para pengikut Yahya mendengar perkara itu, mereka datang dan mengambil jenazah Yahya lalu mengebumikannya.
30Kemudian rasul-rasul kembali berkumpul dengan Isa dan melaporkan segala yang telah mereka lakukan serta ajarkan.
31Orang yang datang dan pergi di situ begitu ramainya sehingga Isa dan para pengikut-Nya tidak sempat makan. Oleh itu, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah ke tempat yang sunyi supaya kita dapat bersendirian, dan berehat sebentar.’
32Mereka pun bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi.
33Tetapi pada waktu mereka bertolak ramai orang melihat dan mengenal mereka. Orang dari semua kota berlari ikut jalan darat supaya sampai di tempat yang dituju itu sebelum Isa dan para pengikut-Nya.
34Apabila Isa turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya penuh belas kasih kerana mereka seperti domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.
35Ketika hari sudah petang, para pengikut Isa datang kepada-Nya dan berkata, ‘Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil.
36Suruhlah semua orang ini pergi supaya mereka ke pekan atau ke kampung yang berdekatan untuk membeli makanan.’
37Tetapi Isa menjawab, ‘Kamu berilah mereka makan.’ Para pengikut-Nya bertanya, ‘Haruskah kami pergi membeli roti berharga dua ratus dinar untuk memberi mereka makan?’
38Isa bertanya, ‘Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.’ Setelah mereka memeriksanya, mereka berkata, ‘Lima buku roti dan dua ekor ikan.’

Read Markus 6Markus 6
Compare Markus 6:5-38Markus 6:5-38