Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 9

Lukas 9:5-25

Help us?
Click on verse(s) to share them!
5Di mana-mana kamu tidak disambut, tinggalkan bandar itu dan kebaskanlah debu daripada kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.’
6Mereka pun berangkat lalu pergi dari kampung ke kampung untuk memberitakan perkhabaran yang baik dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja.
7Herodes, raja wilayah, mendengar segala perkara yang berlaku. Dia keliru kerana ada yang mengatakan bahawa Yahya telah hidup semula,
8ada yang berkata bahawa Ilyas telah muncul; ada juga yang berkata bahawa salah seorang nabi pada zaman dahulu telah hidup kembali.
9Herodes berkata, ‘Yahya itu telah kupancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah aku dengar.’ Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Isa.
10Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Isa segala perkara yang telah dilakukan mereka. Isa membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida.
11Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikut-Nya. Isa menyambut mereka dan mengkhabarkan kerajaan Allah kepada mereka serta menyembuhkan orang yang memerlukan penyembuhan.
12Menjelang senja, dua belas pengikut itu datang kepada Isa. Mereka berkata, ‘Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.’
13Isa berkata kepada mereka, ‘Kamulah memberi mereka makanan.’ Pengikut-pengikut itu berkata lagi, ‘Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.’
14Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.’
15Pengikut-pengikut itu melakukan suruhan Isa dan semua orang pun duduk.
16Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu. Lalu Dia menengadah ke langit sambil mengucap syukur atas makanan itu dan membahagi-bahagikannya. Dia memberikan makanan itu kepada pengikut-pengikut-Nya untuk dihidangkan kepada orang ramai.
17Semua orang makan hingga kenyang dan dua belas bakul lebihan makanan dipungut oleh pengikut-pengikut-Nya.
18Pada suatu hari semasa Isa berdoa bersendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Isa bertanya kepada mereka, ‘Mengikut orang ramai, siapakah Aku?’
19Mereka menjawab, ‘Ada yang mengatakan Yahya Pengimad; ada yang mengatakan Ilyas; dan ada pula yang berkata bahawa salah seorang daripada nabi telah hidup semula.’
20Isa berkata kepada mereka, ‘Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?’ Petrus menjawab, ‘Al-Masih daripada Allah.’
21Dengan tegasnya Isa melarang mereka memaklumkan hal ini kepada sesiapapun;
22dan menambah, ‘Putera Insan mesti menderita banyak sengsara dan ditentang oleh tua-tua, ketua-ketua imam serta guru-guru Taurat. Dia akan dibunuh, dan bangkit semula pada hari yang ketiga.’
23Isa berkata kepada semua, ‘Jikalau seseorang mahu mengikut-Ku, dia hendaklah melupakan kepentingan diri, memikul salibnya setiap hari dan mengikut-Ku.
24Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya.
25Apakah untungnya kepada seseorang jikalau dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian?

Read Lukas 9Lukas 9
Compare Lukas 9:5-25Lukas 9:5-25