Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 9:5-25 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 9:5-25 in Kitab Suci Zabur dan Injil

5 Di mana-mana kamu tidak disambut, tinggalkan bandar itu dan kebaskanlah debu daripada kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.’
6 Mereka pun berangkat lalu pergi dari kampung ke kampung untuk memberitakan perkhabaran yang baik dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja.
7 Herodes, raja wilayah, mendengar segala perkara yang berlaku. Dia keliru kerana ada yang mengatakan bahawa Yahya telah hidup semula,
8 ada yang berkata bahawa Ilyas telah muncul; ada juga yang berkata bahawa salah seorang nabi pada zaman dahulu telah hidup kembali.
9 Herodes berkata, ‘Yahya itu telah kupancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah aku dengar.’ Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Isa.
10 Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Isa segala perkara yang telah dilakukan mereka. Isa membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida.
11 Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikut-Nya. Isa menyambut mereka dan mengkhabarkan kerajaan Allah kepada mereka serta menyembuhkan orang yang memerlukan penyembuhan.
12 Menjelang senja, dua belas pengikut itu datang kepada Isa. Mereka berkata, ‘Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.’
13 Isa berkata kepada mereka, ‘Kamulah memberi mereka makanan.’ Pengikut-pengikut itu berkata lagi, ‘Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.’
14 Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.’
15 Pengikut-pengikut itu melakukan suruhan Isa dan semua orang pun duduk.
16 Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu. Lalu Dia menengadah ke langit sambil mengucap syukur atas makanan itu dan membahagi-bahagikannya. Dia memberikan makanan itu kepada pengikut-pengikut-Nya untuk dihidangkan kepada orang ramai.
17 Semua orang makan hingga kenyang dan dua belas bakul lebihan makanan dipungut oleh pengikut-pengikut-Nya.
18 Pada suatu hari semasa Isa berdoa bersendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Isa bertanya kepada mereka, ‘Mengikut orang ramai, siapakah Aku?’
19 Mereka menjawab, ‘Ada yang mengatakan Yahya Pengimad; ada yang mengatakan Ilyas; dan ada pula yang berkata bahawa salah seorang daripada nabi telah hidup semula.’
20 Isa berkata kepada mereka, ‘Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?’ Petrus menjawab, ‘Al-Masih daripada Allah.’
21 Dengan tegasnya Isa melarang mereka memaklumkan hal ini kepada sesiapapun;
22 dan menambah, ‘Putera Insan mesti menderita banyak sengsara dan ditentang oleh tua-tua, ketua-ketua imam serta guru-guru Taurat. Dia akan dibunuh, dan bangkit semula pada hari yang ketiga.’
23 Isa berkata kepada semua, ‘Jikalau seseorang mahu mengikut-Ku, dia hendaklah melupakan kepentingan diri, memikul salibnya setiap hari dan mengikut-Ku.
24 Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya.
25 Apakah untungnya kepada seseorang jikalau dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian?
Lukas 9 in Kitab Suci Zabur dan Injil