Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Galatia

Galatia 2

Help us?
Click on verse(s) to share them!
1Kemudian, selepas empat belas tahun, aku naik lagi ke Baitulmaqdis dengan Barnabas, serta membawa Titus bersama.
2Aku pergi ke sana untuk mematuhi wahyu yang diterima daripada Allah, dan membentangkan kepada mereka Injil yang kukhabarkan di kalangan bangsa asing. Tetapi aku melakukan ini secara persendirian kepada orang yang terkemuka, takut kalau-kalau pekerjaanku sia-sia, baik pada masa itu mahupun sebelum itu.
3Namun demikian, walaupun Titus yang bersamaku itu seorang Yunani, dia pun tidak dipaksa bersunat.
4Ini disebabkan beberapa orang yang pura-pura beriman telah dibawa masuk. Mereka mencuri-curi masuk untuk mengintip kebebasan yang kami miliki dalam Isa al-Masih agar mereka dapat memperhambakan kami.
5Namun, seketika pun kami tidak tunduk menyerah kepada mereka, supaya kebenaran Injil tetap bersamamu.
6Tetapi daripada orang yang kelihatan berwibawa – walau apapun mereka, sama sahaja bagiku; Allah tidak bersikap pilih kasih kepada sesiapa – mereka tidak menambah apa-apa kepada pengajaranku.
7Sebaliknya, mereka sedar bahawa penyampaian Injil kepada orang yang tidak bersunat telah diamanahkan kepadaku, sebagaimana penyampaian Injil kepada orang yang bersunat telah diamanahkan kepada Petrus.
8Kerana Dia yang telah bekerja dengan berkesan dalam Petrus bagi pengutusan kepada orang yang bersunat, telah bekerja dengan berkesan juga dalamku bagi pengutusan kepada orang yang tidak bersunat.
9Dan apabila Yakobus, Petrus dan Yahya, yang dipandang sebagai asas yang kukuh, menyedari kasih kurnia yang telah diberikan kepadaku, mereka berjabat tangan denganku dan Barnabas sebagai tanda persahabatan, supaya kami pergi kepada bangsa asing manakala mereka pergi kepada orang yang bersunat.
10Mereka hanya meminta agar kami ingat akan orang miskin, sesuatu yang sememangnya hendak kulakukan.
11Tetapi apabila Petrus datang ke Antiokhia, aku bersemuka dengannya dan membantah perbuatannya, kerana dia bersalah.
12Sebelum beberapa orang datang daripada Yakobus, Petrus makan bersama bangsa asing. Akan tetapi apabila mereka datang, dia berundur dan mengasingkan diri, disebabkan takut akan orang yang berpegang kepada persunatan.
13Orang Yahudi yang lain turut bersikap munafik, sehingga Barnabas pun tersesat kerana kemunafikan itu.
14Aku lihat kelakuan mereka itu tidak menepati kebenaran Injil, lalu aku berkata kepada Petrus di hadapan semuanya, ‘Jika kamu, orang Yahudi, hidup seperti orang bangsa asing dan tidak seperti orang Yahudi, mengapakah kamu memaksa orang bangsa asing menurut adat orang Yahudi?
15‘Kita yang memang asal orang Yahudi, bukan “orang berdosa daripada bangsa asing”
16mengetahui bahawa seseorang itu diperbenar bukanlah kerana mengerjakan hukum Taurat tetapi kerana beriman akan al-Masih. Oleh itu kita pun mempercayai al-Masih, supaya kita diperbenar kerana beriman akan al-Masih, bukan kerana mengerjakan hukum Taurat. Tiada seorang pun manusia yang diperbenar kerana mengerjakan hukum Taurat.
17‘Tetapi, ketika kita berusaha untuk diperbenar melalui al-Masih, ternyata kita sendiri didapati berdosa, adakah ini bermakna al-Masih mengajar kita berdosa? Tidak sekali-kali!
18Kalaulah kubina semula apa yang pernah kuruntuhkan, nyatalah aku seorang pelanggar hukum.

19Melalui hukum Taurat, aku telah mati kepada hukum itu untuk hidup kepada Allah.
20Aku telah disalib bersama al-Masih, bukanlah aku lagi yang hidup, tetapi al-Masih yang hidup dalam aku. Dalam hidup jasadku sekarang aku hidup dengan iman kepada Putera Allah, yang mengasihiku dan menyerahkan diri-Nya untukku.
21Aku tidak mengetepikan kasih kurnia Allah, kerana jika kebenaran datang daripada hukum Taurat, sia-sialah kematian al-Masih!’