Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Markus - Markus 8

Markus 8:6-26

Help us?
Click on verse(s) to share them!
6Isa menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. Dia mengambil tujuh buku roti itu dan mengucap syukur. Setelah itu Dia memecah-mecahkan roti itu dan menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk dihidangkan, dan mereka pun memberikannya kepada orang yang banyak itu.
7Mereka juga ada beberapa ekor ikan kecil. Setelah mengucap syukur atasnya, Isa menyuruh supaya ikan itu dibahagi-bahagikan juga.
8Kesemua orang pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh.
9Bilangan mereka itu kira-kira empat ribu orang. Isa pun menyuruh mereka pulang.
10Selepas itu Isa terus menaiki perahu bersama para pengikut-Nya pergi ke daerah Dalmanuta.
11Beberapa orang Farisi datang kepada Isa dan mula bersoal jawab dengan-Nya untuk memerangkap-Nya. Untuk menduga-Nya, mereka meminta daripada-Nya suatu tanda ajaib dari syurga.
12Isa mengeluh lalu menjawab, ‘Mengapakah orang zaman ini mencari suatu tanda ajaib? Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, tidak akan diberikan tanda apapun kepada orang zaman ini.’
13Isa meninggalkan mereka dan kembali ke perahu lalu ke seberang.
14Para pengikut Isa terlupa membawa roti yang mencukupi. Di dalam perahu itu cuma ada sebuku roti.
15Isa mengingatkan mereka, ‘Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.’
16Kemudian mereka membincangkannya satu sama lain dan berkata, ‘Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.’
17Isa mengetahui apa yang mereka bincangkan lalu Dia bertanya, ‘Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham lagi? Begitu tumpulkah fikiranmu?
18Kamu ada mata, tidakkah kamu melihat? Kamu ada telinga, tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu ingat
19bagaimana Aku memecah-mecahkan lima buku roti untuk lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Dua belas,’ jawab mereka.
20‘Dan apabila Aku memecah-mecahkan tujuh buku roti untuk empat ribu orang, berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Tujuh,’ jawab mereka.
21Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu masih belum faham lagi?’
22Isa dan para pengikut-Nya tiba di Betsaida. Beberapa orang membawa seorang buta kepada Isa dan memohon agar Dia menyentuhnya.
23Isa memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya ke luar dari pekan itu. Isa meludahi mata orang buta itu. Kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada orang itu lalu bertanya, ‘Adakah kamu melihat apa-apa?’
24Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, ‘Aku nampak orang, rupa mereka seperti pokok berjalan.’
25Sekali lagi Isa meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Setelah orang itu berusaha untuk melihat, kali ini penglihatannya cukup terang dan matanya telah sembuh.
26Isa pun menyuruhnya pulang sambil berkata, ‘Jangan masuk lagi ke pekan itu.’

Read Markus 8Markus 8
Compare Markus 8:6-26Markus 8:6-26