Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Markus - Markus 5

Markus 5:8-40

Help us?
Click on verse(s) to share them!
8Kerana sebelumnya Isa berkata kepadanya, ‘Roh durjana, keluarlah kamu daripada orang ini!’
9Kemudian Isa bertanya kepadanya, ‘Siapa namamu?’ Orang itu menjawab, ‘Legion, kerana kami ini ramai sekali.’
10Dia memohon sungguh-sungguh kepada Isa supaya tidak menghalau mereka keluar dari kawasan itu.
11Berdekatan tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit.
12Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa, ‘Suruhlah kami pindah ke babi itu, biarlah kami masuk ke dalam tubuh babi itu.’
13Isa bersetuju, lalu roh-roh durjana itu keluar dan masuk ke dalam tubuh kawanan babi itu. Kesemua babi itu, kira-kira dua ribu ekor, terjun dari tepi cenuram ke dalam laut lalu mati lemas.
14Penjaga-penjaga babi itu lari lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di desa. Para penduduk pun keluar hendak melihat apa yang telah terjadi.
15Mereka menghampiri Isa lalu melihat orang yang tadinya dirasuk roh iblis yang banyak itu, kini duduk diam, sudah berpakaian dan ternyata siuman. Mereka semua pun ketakutan.
16Semua yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan segala-galanya tentang orang yang kerasukan roh iblis dan kawanan babi itu.
17Oleh itu mereka meminta Isa meninggalkan daerah itu.
18Ketika Isa menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh iblis itu memohon kepada-Nya, supaya dia dibenarkan menyertai-Nya.
19Tetapi Isa tidak membenarkan, sebaliknya berkata, ‘Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu. Beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu dan bagaimana Dia telah berbelas kasihan pada kamu.’
20Orang itu pun mula menjelajahi daerah sepuluh kota dan menceritakan segala yang telah dilakukan oleh Isa untuknya. Mereka semua kehairanan.
21Setelah itu, Isa kembali menyeberang laut dengan perahu. Setiba-Nya di pantai sebelah sana, Dia dikerumuni orang yang ramai sekali.
22Datanglah Yairus, seorang ketua saumaah di situ. Ketika dia melihat Isa, dia sujud di hadapan-Nya
23dan merayu, ‘Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati. Tolonglah datang, letakkan tangan-Mu padanya, supaya dia sembuh dan dapat terus hidup.’
24Isa pun pergi bersama Yairus. Begitu ramainya orang yang mengikut Isa sehingga Dia diasak dari semua pihak.
25Di situ ada seorang wanita yang sudah dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan.
26Dia telah menghabiskan segala hartanya untuk dirawat oleh ramai tabib tetapi tidak sembuh, semakin parah keadaannya.
27Wanita itu telah banyak mendengar tentang Isa. Oleh itu, dia masuk ke tengah-tengah orang ramai itu dan mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya.
28‘Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya,’ kata wanita itu, ‘tentu aku akan sembuh.’
29Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan dirinya sudah sembuh.
30Pada saat itu Isa sedar ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya lalu Dia bertanya, ‘Siapa yang menyentuh jubah-Ku?’
31Para pengikut-Nya berkata, ‘Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Engkau. Bagaimana Engkau boleh bertanya siapa yang menyentuh-Mu?’
32Tetapi Isa memandang sekeliling-Nya, mencari orang yang telah menyentuh-Nya itu.
33Wanita itu mengetahui apa yang telah terjadi kepada dirinya. Dia gementar ketakutan, lalu tampil dan sujud kepada Isa serta menceritakan segala-galanya.
34Isa berkata kepadanya, ‘Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkan kamu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu.’
35Sedang Isa berkata-kata itu, beberapa orang pesuruh datang daripada keluarga ketua saumaah dan memberitahu Yairus, ‘Anak perempuan tuan sudah meninggal. Usahlah tuan susahkan Tuan Guru lagi.’
36Isa tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia berkata kepada Yairus, ‘Jangan takut, percaya saja.’
37Lalu Isa tidak membenarkan siapapun mengikut-Nya kecuali Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus.
38Apabila tiba di rumah Yairus, Isa melihat keadaan yang kelam-kabut dan mendengar ratap tangis yang kuat.
39Isa masuk lalu berkata kepada mereka, ‘Mengapa kelam-kabut dan menangis? Anak itu tidak mati, cuma tidur.’
40Tetapi mereka mentertawakan Isa. Setelah menyuruh mereka semua keluar, Isa mengajak ibu bapa anak itu dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke bilik tempat anak itu terbaring.

Read Markus 5Markus 5
Compare Markus 5:8-40Markus 5:8-40