Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 9

Lukas 9:16-52

Help us?
Click on verse(s) to share them!
16Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu. Lalu Dia menengadah ke langit sambil mengucap syukur atas makanan itu dan membahagi-bahagikannya. Dia memberikan makanan itu kepada pengikut-pengikut-Nya untuk dihidangkan kepada orang ramai.
17Semua orang makan hingga kenyang dan dua belas bakul lebihan makanan dipungut oleh pengikut-pengikut-Nya.
18Pada suatu hari semasa Isa berdoa bersendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Isa bertanya kepada mereka, ‘Mengikut orang ramai, siapakah Aku?’
19Mereka menjawab, ‘Ada yang mengatakan Yahya Pengimad; ada yang mengatakan Ilyas; dan ada pula yang berkata bahawa salah seorang daripada nabi telah hidup semula.’
20Isa berkata kepada mereka, ‘Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?’ Petrus menjawab, ‘Al-Masih daripada Allah.’
21Dengan tegasnya Isa melarang mereka memaklumkan hal ini kepada sesiapapun;
22dan menambah, ‘Putera Insan mesti menderita banyak sengsara dan ditentang oleh tua-tua, ketua-ketua imam serta guru-guru Taurat. Dia akan dibunuh, dan bangkit semula pada hari yang ketiga.’
23Isa berkata kepada semua, ‘Jikalau seseorang mahu mengikut-Ku, dia hendaklah melupakan kepentingan diri, memikul salibnya setiap hari dan mengikut-Ku.
24Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya.
25Apakah untungnya kepada seseorang jikalau dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian?
26Jika sesiapa malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, Putera Insan juga malu mengakui dia tatkala Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya sendiri, dan dengan kemuliaan Bapa-Nya serta segala malaikat suci.
27Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa ada beberapa orang yang berdiri di sini yang tidak akan mengalami maut sebelum mereka melihat kerajaan Allah.’
28Kira-kira lapan hari setelah Isa mengatakan perkara-perkara tersebut, Dia membawa Petrus, Yahya dan Yakobus menaiki bukit untuk berdoa.
29Semasa Isa berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan.
30Tiba-tiba dua orang muncul dan bercakap dengan-Nya.
31Mereka ialah Musa dan Ilyas yang kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dan mereka bercakap dengan Isa tentang kewafatan-Nya yang akan ditunaikan di Baitulmaqdis.
32Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Isa serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-Nya.
33Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Isa, Petrus berkata kepada-Nya, ‘Tuan, betapa bahagianya kami berada di sini. Biarlah kami membuat tiga buah khemah: sebuah untuk Tuan, sebuah untuk Musa dan sebuah lagi untuk Ilyas.’ Sebenarnya, dia tidak mengetahui apa yang dikatakannya itu.
34Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan.
35Lalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, ‘Inilah Putera-Ku yang Aku pilih. Dengarlah kata-kata-Nya!’
36Setelah suara itu berhenti, Isa kelihatan seorang sahaja. Pengikut-pengikut itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa jua apa yang telah disaksikan oleh mereka itu.
37Pada keesokan harinya, mereka turun dari bukit itu dan orang ramai bertemu dengan Isa.
38Seorang antaranya berseru, ‘Tuan Guru, tolonglah anakku kerana dia anak tunggalku.
39Dia dirasuk sesuatu roh lalu tiba-tiba dia berteriak dan tersentak-sentak sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya.
40Aku telah memohon pengikut-pengikut Tuan supaya mengusir roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.’
41Isa menjawab, ‘Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini! Berapa lamakah harus Aku bersama kamu dan bersabar terhadap kamu? Bawalah anakmu itu ke mari.’
42Semasa dia datang, roh durjana itu mencampakkannya ke tanah lalu membuatnya tersentak-sentak. Tetapi Isa memarahi roh durjana itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya.
43Semua orang tercengang menyaksikan keagungan Allah. Sementara semua orang masih hairan akan segala yang dibuat oleh Isa, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,
44‘Jangan lupa akan apa yang Aku katakan kepadamu ini: Putera Insan akan diserahkan ke tangan orang.’
45Mereka tidak mengetahui maksudnya kerana tersembunyi daripada mereka supaya mereka tidak memahaminya. Mereka takut pula bertanya kepada Isa tentang perkara itu.
46Mereka bertengkar sesama sendiri tentang siapa antara mereka yang terbesar.
47Isa mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di sisi-Nya.
48Isa berkata, ‘Sesiapa yang menerima kanak-kanak ini kerana Nama-Ku menerima Aku; dan sesiapa yang menerima Aku menerima Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang rendah sekali hatinya antara kamu semua – dialah yang terbesar!’
49Yahya berkata, ‘Tuan, kami telah melihat seorang yang mengusir roh-roh iblis dengan menggunakan Nama-Mu, dan kami melarang dia kerana dia tidak termasuk dalam golongan kami.’
50Isa berkata kepadanya, ‘Janganlah kamu larang dia. Orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.’
51Tatkala waktunya sudah dekat untuk Isa diangkat ke syurga, Dia menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Baitulmaqdis.
52Dia menyuruh beberapa utusan mendahului-Nya. Mereka pun masuk ke sebuah kampung orang Samaria untuk menyediakan tempat persinggahan bagi Isa.

Read Lukas 9Lukas 9
Compare Lukas 9:16-52Lukas 9:16-52