Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 22

Lukas 22:47-69

Help us?
Click on verse(s) to share them!
47Ketika Isa masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang daripada dua belas pengikut-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Isa untuk mencium-Nya.
48Isa berkata kepadanya, ‘Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Putera Insan?’
49Apabila pengikut-pengikut Isa melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?’
50Salah seorang daripada mereka menyerang hamba imam agung dan memutuskan telinga kanannya.
51Tetapi Isa berkata, ‘Biarkanlah mereka.’ Lalu Isa menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya.
52Kemudian Isa berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal rumah ibadat dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, ‘Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun?
53Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam rumah ibadat, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.’
54Setelah menangkap Isa, mereka membawa Dia ke rumah imam agung. Petrus pun mengikut dari jauh.
55Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka.
56Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, ‘Orang ini juga bersama Dia.’
57Tetapi Petrus menyangkal katanya, ‘Perempuan, aku tidak mengenal Dia!’
58Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, ‘Ya, engkau salah seorang daripada mereka itu.’ Tetapi Petrus menjawab, ‘Bukan, aku bukan!’
59Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, ‘Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.’
60Tetapi Petrus berkata, ‘Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.’ Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok.
61Junjungan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Junjungan kepadanya bahawa, ‘Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.’
62Petrus pun keluar lalu menangis dengan sangat kesalnya.
63Orang yang mengawal Isa mengejek-ngejek dan memukul Dia.
64Mereka menutupi mata Isa dan bertanya, ‘Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!’
65Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghina kepada-Nya.
66Pada pagi hari, tua-tua masyarakat, ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat bermesyuarat, dan Isa dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata,
67‘Jikalau Engkau al-Masih, katakanlah kepada kami.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Jikalau Aku mengatakan kepadamu, kamu tidak percaya juga.
68Dan jikalau Aku bertanya kepadamu, kamu juga tidak menjawab.
69Tetapi mulai sekarang, Putera Insan akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.’

Read Lukas 22Lukas 22
Compare Lukas 22:47-69Lukas 22:47-69