Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 11

Lukas 11:4-27

Help us?
Click on verse(s) to share them!
4Ampunkanlah dosa-dosa kami, sebagaimana kami mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami; janganlah biarkan kami tergoda.” ’
5Isa meneruskan kata-Nya, ‘Siapakah antara kamu yang akan pergi kepada sahabatnya pada lewat malam lalu berkata kepadanya, “Hai sahabat, pinjamilah aku tiga buku roti
6kerana seorang sahabatku telah singgah di rumahku dalam perjalanannya dan aku tiada makanan apa-apa untuk dihidangkan.”
7‘Sahabat itu menjawab dari dalam rumahnya, “Janganlah ganggu aku kerana pintu sudah dikunci dan kami semua telah pun masuk tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberikan apa-apa.” ’
8Isa berkata, ‘Aku berkata kepadamu bahawa sungguhpun, dia tidak mahu bangun memberikan pinjaman itu kepadamu kerana kamu sahabatnya, tetapi dia akan bangun juga dan memberikan pinjaman seberapa banyak yang kamu perlukan kalau kamu tidak segan untuk terus meminta daripadanya.
9‘Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Mintalah supaya kamu akan diberi; carilah supaya kamu akan mendapat; ketuklah pintu supaya pintu akan dibuka untukmu.
10Kerana setiap orang yang meminta akan menerima; yang mencari akan mendapat; dan pintu akan dibuka kepada orang yang mengetuknya.
11‘Bapa yang manakah di antara kamu akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan,
12atau memberikan kala jengking kalau dipintanya telur?
13Jika kamu yang jahat tahu memberikan barang yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapamu yang di syurga akan memberikan Roh Suci kepada orang yang meminta-Nya!’
14Isa mengusir roh iblis daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Orang ramai pun hairan.
15Tetapi ada orang yang berkata, ‘Dia mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, ketua semua roh iblis.’
16Orang lain cuba memerangkap Isa dengan meminta-Nya melakukan suatu mukjizat untuk menunjukkan Allah berkenan dengan-Nya.
17Isa mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada mereka, ‘Setiap negara yang berbelah bahagi dan bermusuhan sesama rakyatnya tidak akan tahan lama dan setiap keluarga yang bersengketa sesama sendiri akan hancur.
18Jikalau kerajaan Iblis berlawan-lawanan sesama sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul.
19Tetapi jikalau Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu mengusir roh-roh iblis? Maka pengikut-pengikutmu sendiri akan menghakimi kamu!
20Tetapi jika Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka ini menunjukkan bahawa kerajaan Allah telah datang kepada kamu.
21‘Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat;
22tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya.
23‘Orang yang tidak berpihak kepada Aku menentang Aku; dan orang yang tidak bersama Aku bercerai-berai.
24‘Apabila roh durjana keluar daripada seseorang, roh itu mengembara di tempat yang kering untuk mencari tempat berehat. Jika tempat itu tidak dapat dicari, roh itu berkata, “Aku akan pulang ke tempat kediamanku yang lama.”
25Roh itu kembali dan mendapati tempat kediamannya itu bersih dan kemas.
26Kemudian dia pergi membawa tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya lalu mereka tinggal di situ. Keadaan orang itu pada akhirnya lebih teruk daripada dahulu.’
27Setelah Isa berkata demikian, seorang perempuan antara orang ramai itu berkata, ‘Diberkatilah perempuan yang melahirkan dan menyusui Engkau.’

Read Lukas 11Lukas 11
Compare Lukas 11:4-27Lukas 11:4-27