13Ketika perayaan Paska orang Yahudi hampir tiba, Isa pergi ke Baitulmaqdis.
14Di dalam rumah ibadat Dia mendapati orang berjual-beli lembu, domba dan burung merpati, serta pengurup-pengurup wang duduk di situ.
15Isa membuat cemeti daripada tali lalu mengusir kesemua orang, domba dan lembu dari rumah ibadat. Dia juga menghamburkan wang para pengurup wang itu dan menterbalikkan meja mereka.
16Dia berkata kepada penjual burung merpati, ‘Bawa keluar semuanya. Jangan jadikan Rumah Bapa-Ku tempat berniaga!’
17Para pengikut-Nya teringat bahawa telah tersurat: ‘Kasih-Ku terhadap Rumah-Mu membakar hati-Ku!’
18Orang Yahudi menyoal Isa, ‘Apakah mukjizat yang dapat Kamu lakukan sebagai bukti bahawa Kamu berhak bertindak begini?’
19Isa menjawab, ‘Robohkanlah rumah ibadat ini, akan Kubina semula dalam tiga hari.’
20‘Pembinaannya mengambil masa empat puluh enam tahun! Akan Kaubina semula dalam tiga hari?’ tanya mereka.
21Sebenarnya, rumah ibadat yang dimaksudkan oleh Isa itu ialah tubuh-Nya sendiri.
22Apabila Isa bangkit daripada kematian, para pengikut-Nya teringat kata-kata-Nya itu. Dengan demikian percayalah mereka akan Kitab Suci dan kata-kata Isa.
23Sewaktu Isa di Baitulmaqdis pada masa perayaan Paska, ramai orang yang percaya kepada-Nya disebabkan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya.
24Namun demikian, Isa tidaklah mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui isi hati manusia.
25Dia tidak memerlukan kesaksian sesiapa tentang manusia kerana Dia mengetahui niat dan perasaan setiap orang.