45Isa berkata, ‘Siapakah yang menyentuh Aku?’ Apabila semua orang menafikannya, Petrus berkata, ‘Tuan, orang ramai ini menghimpit dan mengasak Tuan.’
46Tetapi Isa berkata, ‘Ada orang menyentuh Aku kerana Aku tahu bahawa kuasa telah keluar daripada-Ku.’
47Apabila perempuan itu mengetahui perbuatannya tidak dapat disembunyikan, dia datang dengan gementar lalu sujud di hadapan Isa dan menceritakan kepada-Nya di hadapan orang ramai itu sebabnya dia menyentuh Isa serta bagaimana dia sembuh seketika itu juga.
48Isa berkata kepadanya, ‘Anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera.’
49Sementara Isa masih berkata-kata, seorang utusan datang dari rumah ketua saumaah dan berkata kepada ketua itu, ‘Anak perempuan tuan telah mati. Tidak usah menyusahkan Guru lagi.’
50Isa mendengar ini dan berkata kepada ketua itu, ‘Janganlah takut, percaya sahaja dan anakmu akan dipulihkan.’
51Apabila sampai ke rumah itu, Isa tidak membenarkan sesiapapun masuk bersama-sama selain Petrus, Yahya dan Yakobus serta ibu bapa budak itu.