Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 5

Lukas 5:17-34

Help us?
Click on verse(s) to share them!
17Pada suatu hari ketika Isa mengajar orang, ada beberapa orang Farisi dan ahli Taurat duduk di situ. Mereka telah datang dari setiap bandar di Galilea dan Yudea dan juga dari Baitulmaqdis. Kuasa Allah ada pada Isa untuk menyembuhkan orang.
18Beberapa orang mengusung seorang yang lumpuh dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Isa.
19Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke atas bumbung rumah lalu membuka genting supaya dapat menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Isa.
20Apabila Isa melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Saudara, dosa-dosamu diampunkan.’
21Guru-guru Taurat dan orang Farisi mula berkata sesama diri, ‘Siapakah orang ini yang mengkufuri Allah? Siapakah yang dapat mengampunkan dosa kecuali Allah sahaja?’
22Tetapi Isa mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu memikirkan perkara sedemikian?
23Yang manakah lebih mudah: mengatakan, “Dosa-dosamu diampunkan,” atau “Bangunlah dan berjalan”?
24Tetapi, supaya kamu ketahui bahawa Putera Insan berkuasa di bumi ini untuk mengampunkan dosa...’ Lalu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkat tikarmu dan berjalan pulang ke rumah!’
25Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar tempat dia berbaring tadi lalu pulang sambil memuji Allah.
26Semua orang tercengang-cengang dan memuji Allah. Mereka dipenuhi dengan perasaan takjub sambil berkata, ‘Pada hari ini kami telah menyaksikan hal yang ajaib!’
27Kemudian Isa keluar dan nampak seorang pemungut cukai yang bernama Lewi sedang duduk di tempat kutipan cukai. Isa berkata kepadanya, ‘Ikutlah Aku!’
28Lewi bangun, meninggalkan semuanya dan mengikut Isa.
29Lewi menyediakan satu jamuan besar untuk Isa di rumahnya. Ada ramai pemungut cukai dan orang lain yang turut duduk bersama mereka.
30Orang Farisi dan guru-guru Taurat yang semazhab bersungut-sungut kepada pengikut-pengikut Isa, ‘Mengapakah kamu makan dan minum bersama pemungut-pemungut cukai dan orang berdosa?’
31Isa menjawab, ‘Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat.
32Aku datang bukannya untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa, supaya mereka bertaubat.’
33Mereka berkata kepada Isa, ‘Pengikut-pengikut Yahya kerapkali berpuasa dan berdoa. Demikian juga pengikut-pengikut orang Farisi. Tetapi pengikut-pengikut-Mu ini makan dan minum sahaja.’
34Isa menjawab, ‘Dapatkah tetamu-tetamu pengantin lelaki diminta berpuasa selagi pengantin lelaki itu ada bersama-sama?

Read Lukas 5Lukas 5
Compare Lukas 5:17-34Lukas 5:17-34