Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Rom - Rom 4

Rom 4:13-24

Help us?
Click on verse(s) to share them!
13Kerana janji kepada Ibrahim dan keturunannya bahawa mereka akan menjadi waris dunia ini bukanlah melalui hukum Taurat tetapi melalui kebenaran yang diperoleh dengan iman.
14Kerana jika orang yang mengamalkan hukum Taurat menjadi waris, maka iman tidak bernilai dan janji itu mansuh.
15Kerana hukum Taurat membawa kemurkaan Allah dan tanpa hukum Taurat, tiadalah kemungkaran.
16Oleh demikian janji itu melalui iman, supaya datangnya melalui kasih kurnia dan dapat dipastikan bagi semua keturunan Ibrahim; bukan hanya yang mengamalkan hukum Taurat tetapi juga yang mempunyai iman Ibrahim, bapa kepada kita semua.
17Sebagaimana tersurat di dalam kitab suci, ‘Aku telah menjadikanmu bapa kepada beberapa banyak bangsa.’ Ibrahim bapa kita di sisi Allah. Dia beriman kepada Allah yang memberikan nyawa kepada yang mati dan menyeru yang tidak wujud menjadi wujud.
18Meski bagaikan tiada harapan, Ibrahim berharap dan beriman, maka dia menjadi bapa kepada beberapa banyak bangsa, sebagaimana telah dikatakan kepadanya, ‘Demikian jugalah keturunanmu kelak.’
19Tanpa terjejas imannya, dia menghadapi kenyataan bahawa tubuhnya samalah seperti sudah mati – kerana dia sudah berusia kira-kira seratus tahun – dan rahim Sarah juga sudah mati.
20Namun, Ibrahim tidak digugat kesangsian terhadap janji Allah, tetapi telah diteguhkan lagi dalam imannya lalu memuliakan Allah.
21Dia yakin sepenuhnya bahawa Allah berkuasa melakukan apa yang telah dijanjikan-Nya.
22Maka ‘dengan imannya itu dia telah diterima sebagai orang yang benar.’
23Kata-kata ‘dengan imannya itu dia telah diterima sebagai orang yang benar’ telah tersurat bukan untuknya sahaja,
24tetapi juga untuk kita: Allah akan menerima kita sebagai orang yang benar, kita yang beriman terhadap Dia yang telah membangkitkan Junjungan Isa daripada kematian.

Read Rom 4Rom 4
Compare Rom 4:13-24Rom 4:13-24