Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 22

Lukas 22:31-57

Help us?
Click on verse(s) to share them!
31‘Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah meminta izin untuk menguji kamu semua seperti petani memisahkan gandum daripada sekam.
32Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.’
33Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.’
34Isa menjawab, ‘Aku berkata kepadamu, Petrus, ayam tidak akan berkokok pada hari ini sehingga kamu berkata bahawa kamu tidak mengenal-Ku sebanyak tiga kali.’
35Isa berkata kepada mereka, ‘Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?’ Mereka menjawab, ‘Satu pun tidak.’
36Isa berkata lagi, ‘Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah.
37Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: “Dia tergolong bersama dengan penjahat.” Ini kerana apa yang tersurat tentang Aku akan berlaku.’
38Pengikut-pengikut itu berkata, ‘Tengoklah Junjungan, di sini ada dua bilah pedang!’ Isa berkata, ‘Cukuplah!’
39Isa meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Pengikut-pengikut-Nya pergi bersama Dia.
40Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, ‘Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.’
41Isa pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa.
42‘Ya Bapa, jikalau berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.’
43Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya.
44Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.
45Isa bangun daripada berdoa, dan balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Didapati-Nya mereka tertidur kerana sangat sedih.
46Dia berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.’
47Ketika Isa masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang daripada dua belas pengikut-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Isa untuk mencium-Nya.
48Isa berkata kepadanya, ‘Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Putera Insan?’
49Apabila pengikut-pengikut Isa melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?’
50Salah seorang daripada mereka menyerang hamba imam agung dan memutuskan telinga kanannya.
51Tetapi Isa berkata, ‘Biarkanlah mereka.’ Lalu Isa menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya.
52Kemudian Isa berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal rumah ibadat dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, ‘Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun?
53Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam rumah ibadat, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.’
54Setelah menangkap Isa, mereka membawa Dia ke rumah imam agung. Petrus pun mengikut dari jauh.
55Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka.
56Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, ‘Orang ini juga bersama Dia.’
57Tetapi Petrus menyangkal katanya, ‘Perempuan, aku tidak mengenal Dia!’

Read Lukas 22Lukas 22
Compare Lukas 22:31-57Lukas 22:31-57