Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 22:31-57 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 22:31-57 in Kitab Suci Zabur dan Injil

31 ‘Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah meminta izin untuk menguji kamu semua seperti petani memisahkan gandum daripada sekam.
32 Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.’
33 Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.’
34 Isa menjawab, ‘Aku berkata kepadamu, Petrus, ayam tidak akan berkokok pada hari ini sehingga kamu berkata bahawa kamu tidak mengenal-Ku sebanyak tiga kali.’
35 Isa berkata kepada mereka, ‘Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?’ Mereka menjawab, ‘Satu pun tidak.’
36 Isa berkata lagi, ‘Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah.
37 Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: “Dia tergolong bersama dengan penjahat.” Ini kerana apa yang tersurat tentang Aku akan berlaku.’
38 Pengikut-pengikut itu berkata, ‘Tengoklah Junjungan, di sini ada dua bilah pedang!’ Isa berkata, ‘Cukuplah!’
39 Isa meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Pengikut-pengikut-Nya pergi bersama Dia.
40 Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, ‘Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.’
41 Isa pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa.
42 ‘Ya Bapa, jikalau berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.’
43 Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya.
44 Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.
45 Isa bangun daripada berdoa, dan balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Didapati-Nya mereka tertidur kerana sangat sedih.
46 Dia berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.’
47 Ketika Isa masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang daripada dua belas pengikut-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Isa untuk mencium-Nya.
48 Isa berkata kepadanya, ‘Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Putera Insan?’
49 Apabila pengikut-pengikut Isa melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?’
50 Salah seorang daripada mereka menyerang hamba imam agung dan memutuskan telinga kanannya.
51 Tetapi Isa berkata, ‘Biarkanlah mereka.’ Lalu Isa menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya.
52 Kemudian Isa berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal rumah ibadat dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, ‘Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun?
53 Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam rumah ibadat, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.’
54 Setelah menangkap Isa, mereka membawa Dia ke rumah imam agung. Petrus pun mengikut dari jauh.
55 Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka.
56 Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, ‘Orang ini juga bersama Dia.’
57 Tetapi Petrus menyangkal katanya, ‘Perempuan, aku tidak mengenal Dia!’
Lukas 22 in Kitab Suci Zabur dan Injil