Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 6

Lukas 6:35-49

Help us?
Click on verse(s) to share them!
35Tetapi kamu hendaklah mengasihi seterumu; kamu hendaklah berbuat baik kepadanya dan kamu hendaklah meminjami orang dengan tidak mengharapkan apa-apa. Besarlah ganjaranmu kelak dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi kerana Dia berbuat baik kepada orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang yang zalim.
36Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang berbelas kasihan.
37‘Janganlah kamu hakimi orang supaya kamu tidak akan dihakimi. Janganlah kamu hukum orang supaya kamu tidak dihukum. Ampunilah orang dan kamu akan diampuni.
38Berilah kepada orang dan kamu akan diberi. Suatu takaran yang baik, dipadatkan dan digoncang sehingga melimpah keluar akan dicurahkan ke atas pangkuanmu. Sukatan yang kamu gunakan itu akan digunakan terhadap kamu.’
39Kemudian Isa memberitahu suatu ibarat lagi. ‘Bolehkah orang buta memimpin orang buta? Tidakkah kedua-duanya akan jatuh ke dalam longkang?
40Seorang murid tidak melebihi gurunya; tetapi setiap murid yang terlatih dengan sempurna akan menyerupai gurunya.
41‘Mengapakah engkau memandang selumbar yang ada di dalam mata saudaramu, tetapi engkau tidak menyedari sebatang kayu yang ada di dalam matamu sendiri?
42Bagaimanakah engkau dapat berkata kepada saudaramu, “Saudara, biarlah aku keluarkan selumbar itu daripada matamu” sedangkan engkau tidak nampak sebatang kayu yang ada di dalam matamu sendiri? Munafik! Buangkan kayu itu daripada matamu sendiri dahulu, barulah engkau dapat melihat dengan terang untuk mengeluarkan selumbar yang ada di dalam mata saudaramu.
43‘Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik.
44Tiap-tiap pokok dikenal daripada buahnya. Orang tidak memetik buah ara daripada pokok duri atau buah anggur daripada semak duri.
45Orang yang baik mengeluarkan perkara yang baik daripada hati yang berlimpah-limpah dengan kebaikan; orang yang jahat mengeluarkan perkara yang jahat daripada hati yang penuh dengan kejahatan. Seseorang akan meluahkan apa yang terkandung di dalam hatinya.
46‘Mengapakah kamu memanggil Aku, “Ya Junjungan, ya Junjungan,” tetapi tidak mematuhi perintah-Ku?
47Aku akan menunjukkan kepadamu keadaan orang yang datang kepada-Ku dan mendengar serta mentaati kata-kata-Ku.
48Dia umpama seorang yang membina rumah. Dia menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah itu di atas batu. Apabila banjir berlaku, arus dari sungai akan melanda rumah itu tetapi tidak dapat menggoncangkannya kerana rumah itu didirikan dengan kukuh.
49Akan tetapi, orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak mahu mematuhinya umpama seorang yang membina rumah di atas tanah tanpa asas. Apabila dilanda arus sungai, rumah itu akan roboh dan kerosakannya besar sekali.’

Read Lukas 6Lukas 6
Compare Lukas 6:35-49Lukas 6:35-49