31Berbuatlah kepada orang lain seperti yang kamu ingin mereka berbuat kepadamu.
32‘Jikalau kamu mengasihi orang yang mengasihi kamu, apakah kelebihanmu? Malah, orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka.
33Dan jikalau kamu membalas baik kepada orang yang berbuat baik kepadamu, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun berbuat begitu.
34Jikalau kamu meminjami orang yang kamu harap akan memulangkannya, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun meminjami orang berdosa untuk mendapatkan kembali sama banyaknya.
35Tetapi kamu hendaklah mengasihi seterumu; kamu hendaklah berbuat baik kepadanya dan kamu hendaklah meminjami orang dengan tidak mengharapkan apa-apa. Besarlah ganjaranmu kelak dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi kerana Dia berbuat baik kepada orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang yang zalim.
36Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang berbelas kasihan.
37‘Janganlah kamu hakimi orang supaya kamu tidak akan dihakimi. Janganlah kamu hukum orang supaya kamu tidak dihukum. Ampunilah orang dan kamu akan diampuni.
38Berilah kepada orang dan kamu akan diberi. Suatu takaran yang baik, dipadatkan dan digoncang sehingga melimpah keluar akan dicurahkan ke atas pangkuanmu. Sukatan yang kamu gunakan itu akan digunakan terhadap kamu.’
39Kemudian Isa memberitahu suatu ibarat lagi. ‘Bolehkah orang buta memimpin orang buta? Tidakkah kedua-duanya akan jatuh ke dalam longkang?