Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Yahya - Yahya 21

Yahya 21:14-23

Help us?
Click on verse(s) to share them!
14Itulah kali ketiga Isa menampakkan diri kepada para pengikut-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian.
15Selepas sarapan bersama-sama, Isa bertanya kepada Simon Petrus, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?’ Petrus menjawab, ‘Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.’ Isa berkata kepadanya, ‘Berilah anak-anak domba-Ku makan.’
16Bagi kali kedua Isa bertanya, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?’ Petrus menjawab, ‘Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.’ Isa berkata kepadanya, ‘Peliharalah domba-domba-Ku.’
17Bagi kali ketiga Isa bertanya kepadanya, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu mengasihi-Ku?’ Petrus sedih kerana Isa bertanya kepadanya bagi kali ketiga, ‘Adakah kamu mengasihi-Ku?’ Lalu dia menjawab, ‘Junjungan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!’ Isa berkata kepadanya, ‘Berilah domba-domba-Ku makan.’
18Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.’
19Kata-kata Isa ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Isa pun berkata kepada Petrus, ‘Ikutlah Aku!’
20Petrus menoleh lalu melihat pengikut yang dikasihi oleh Isa sedang mengikut mereka. Pengikut itulah yang duduk dekat dengan Isa ketika makan malam dahulu dan bertanya kepada-Nya, ‘Junjungan, siapakah yang akan mengkhianati-Mu?’
21Ketika melihatnya, Petrus bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, bagaimana dengan orang ini?’
22Isa menjawab, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu? Kamu ikutlah Aku.’
23Oleh itu tersebarlah di kalangan pengikut Isa bahawa pengikut tersebut tidak akan mati. Tetapi Isa tidak berkata bahawa pengikut itu tidak akan mati. Isa berkata, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu?’

Read Yahya 21Yahya 21
Compare Yahya 21:14-23Yahya 21:14-23