Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Yakobus

Yakobus 5

Help us?
Click on verse(s) to share them!
1Dengarlah nasihatku, wahai orang kaya. Menangis dan merataplah, kerana kesusahan akan menimpamu.
2Kekayaanmu akan reput dan pakaianmu dimakan gegat.
3Emas perakmu akan berkarat, karatnya akan menjadi saksi menuduhmu dan akan menghanguskan tubuhmu seperti api. Kamu telah mengumpulkan harta pada akhir zaman ini.
4Kamu tidak membayar upah orang yang bekerja di ladangmu. Dengarlah rintihan mereka! Orang yang menuai hasil ladangmu berseru minta dibela nasibnya dan suara mereka telah sampai ke telinga Tuhan Maha Kuasa.
5Hidupmu di dunia ini senang-lenang dalam kemewahan melimpah-limpah. Kamu bagaikan menggemukkan diri untuk hari penyembelihan.
6Kamu menghukum dan membunuh orang yang tidak bersalah, dan mereka tidak melawanmu.
7Saudara-saudaraku, bersabarlah menanti kedatangan Tuhan. Lihatlah betapa sabarnya seorang peladang menunggu tanahnya mengeluarkan hasil yang bernilai. Dengan sabar dia menanti hujan musim luruh dan hujan musim bunga.
8Demikian jugalah kamu harus bersabar. Tabahkan hatimu, kerana hari kedatangan Tuhan sudah hampir tiba.
9Saudara-saudaraku, janganlah bersungut-sungut, supaya kamu tidak dihukum. Hakim kian dekat dan akan segera sampai.
10Saudara-saudaraku, ingatlah nabi-nabi yang bersabda dengan nama Tuhan. Teladanilah kesabaran dan ketabahan mereka menanggung kesengsaraan.
11Kami mengatakan mereka orang yang diberkati kerana mereka tabah menanggung kesengsaraan. Kamu telah mendengar kisah kesabaran Ayub, dan kamu tahu pada akhirnya Tuhan memberkatinya. Tuhan amat berbelas kasih dan penuh belas kasihan.
12Saudara-saudaraku, ini sangat penting-janganlah bersumpah ketika mengikat janji. Jangan bersumpah demi langit, bumi atau apa-apapun. Katakan ‘ya’ apabila maksudmu ya, dan ‘tidak’ apabila maksudmu tidak. Dengan demikian tidaklah kamu dihukum Allah.
13Adakah sesiapa di kalanganmu yang sedang mengalami kesusahan? Berdoalah. Adakah sesiapa yang sedang bergembira? Nyanyikanlah lagu pujian kepada Allah.
14Adakah sesiapa yang sakit? Panggillah para tua-tua jemaah untuk mendoakannya dan menyapukan minyak padanya dengan nama Tuhan.
15Doa yang dilafazkan dengan iman akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya, dan dosanya akan diampunkan.
16Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui kesalahan serta mendoakan satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang benar mempunyai kuasa yang hebat.
17Ilyas seorang manusia biasa seperti kita. Dia berdoa bersungguh-sungguh supaya hujan tidak turun, maka selama tiga tahun setengah hujan tidak turun.
18Selepas itu dia berdoa lagi, lalu langit menurunkan hujan mencurah-curah dan tanah mengeluarkan hasil.

19Saudara-saudaraku, jika seorang di kalanganmu sesat, lalu yang lain memimpinnya kembali kepada Allah,
20ingatlah ayat ini: Sesiapa memimpin seorang yang berdosa kembali daripada jalan yang salah, maka dia menyelamatkan roh orang yang berdosa itu daripada kematian dan menutupi banyak dosa.