Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Yahya - Yahya 8

Yahya 8:2-44

Help us?
Click on verse(s) to share them!
2Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi Dia masuk ke rumah ibadat. Semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mengajar mereka.
3Guru Taurat dan orang Farisi membawa kepada Isa seorang perempuan yang didapati berzina. Mereka membuat perempuan itu berdiri di hadapan semua orang di situ.
4Mereka berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, perempuan ini ditangkap ketika berzina.’
5Di dalam hukum Taurat, Musa memberi perintah supaya perempuan demikian direjam sampai mati. Bagaimanakah pendapat-Mu?’
6Mereka bertanya demikian untuk menduga Isa supaya mempunyai alasan untuk menuduh-Nya. Tetapi Isa tunduk menulis di tanah dengan jari-Nya.
7Mereka tetap mengulangi pertanyaan itu. Oleh yang demikian, Isa meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada mereka, ‘Sesiapa di antaramu yang tidak berdosa, hendaklah dia yang pertama merejam batu kepadanya.’
8Kemudian Isa tunduk menulis semula di tanah.
9Setelah mendengar kata-kata Isa, seorang demi seorang, bermula dengan yang tertua, beredar dari situ. Akhirnya hanya Isa dan perempuan itu yang tinggal.
10Isa meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada perempuan itu, ‘Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang mengutukmu?’
11Perempuan itu menjawab, ‘Tidak ada, Junjungan.’ Isa berkata, ‘Aku pun tidak menghukummu. Pergilah, jangan berbuat dosa lagi.’
12Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.’
13Lalu orang Farisi yang hadir berkata kepada Isa, ‘Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah.’
14Isa menjawab, ‘Walaupun Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi.
15Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapapun.
16Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama-Ku.
17Ada tersurat di dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah.
18Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberi kesaksian tentang diri-Ku.’
19Oleh itu mereka bertanya, ‘Di manakah Bapa-Mu itu?’ Isa menjawab, ‘Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga.’
20Isa mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di rumah ibadat. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai.
21Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Aku akan pergi dan kamu akan mencari-Ku, tetapi kamu akan mati dalam dosamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’
22Lalu orang Yahudi berkata, ‘Adakah Dia hendak membunuh diri?’ Kerana Dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’
23Isa berkata, ‘Kamu datang dari bawah; Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia.
24Itulah maka Kukatakan kepadamu, kamu akan mati dalam dosamu. Memanglah kamu akan mati dalam dosamu jika kamu tidak percaya bahawa Akulah Dia yang Kukatakan.’
25‘Siapa Kamu ini?’ tanya mereka. Isa menjawab, ‘Akulah Dia yang telah Kukatakan kepadamu dari mula lagi.
26Ada banyak lagi yang perlu Kukatakan dan Kuadili tentangmu. Tetapi Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai. Aku menyampaikan kepada dunia apa yang Kudengar daripada-Nya.’
27Mereka tidak faham bahawa selama ini Isa bercakap tentang Bapa.
28Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Apabila kamu meninggikan Putera Insan, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa.
29Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.’
30Setelah mendengar kata-kata Isa, ramai orang percaya kepada-Nya.
31Isa berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, ‘Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu pengikut-Ku yang sejati.
32Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.’
33Mereka berkata, ‘Kami keturunan Ibrahim. Kami belum pernah diperhambakan. Apakah maksud kata-kata-Mu, “Kamu akan dibebaskan”?’
34Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa.
35Seorang hamba tidak mempunyai kedudukan kekal dalam sebuah keluarga, tidak seperti seorang anak yang selama-lamanya anggota keluarga itu.
36Dengan demikian, jika Putera membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya.
37Aku tahu kamu keturunan Ibrahim, tetapi kamu ingin membunuh-Ku kerana kata-kata-Ku tidak mendapat tempat dalam dirimu.
38Aku menyampaikan apa yang dinyatakan oleh Bapa-Ku. Demikian juga kamu melakukan apa yang disampaikan oleh bapamu.’
39Mereka menjawab, ‘Bapa kami Ibrahim.’ Tetapi Isa berkata, ‘Sekiranya kamu benar-benar anak Ibrahim, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Ibrahim.
40Aku hanya memberitahumu apa yang difirmankan Allah kepada-Ku, tetapi kamu hendak membunuh-Ku. Ini bukanlah perlakuan Ibrahim!
41Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapamu.’ Mereka menjawab, ‘Kami bukan anak luar nikah. Bapa kami satu, iaitu Allah.’
42Isa berkata kepada mereka, ‘Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya.
43Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku.
44Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta.

Read Yahya 8Yahya 8
Compare Yahya 8:2-44Yahya 8:2-44