Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Titus

Titus 1

Help us?
Click on verse(s) to share them!
1Surat ini daripada Paulus, sebagai hamba Allah dan rasul Isa al-Masih demi iman semua orang pilihan Allah dan pengetahuan akan kebenaran yang menghasilkan kesalihan.
2Iman dan pengetahuan itu berasaskan harapan untuk memperoleh hidup yang kekal. Allah tidak berdusta, Dia telah menjanjikan hidup ini sebelum permulaan zaman.
3Pada masa yang telah ditentukan, Allah menyatakan janji itu melalui perkhabaran-Nya yang diamanahkan kepadaku. Aku menyebarkan perkhabaran ini dengan perintah Allah Penyelamat kita,
4Kepada Titus, kamu seperti anakku sendiri dalam iman kita yang sama: Semoga Allah Bapa dan Isa al-Masih Penyelamat kita menganugerahimu kasih kurnia dan sejahtera.
5Aku telah meninggalkanmu di Kreta supaya kamu dapat melaksanakan segala hal yang masih perlu diselesaikan serta melantik tua-tua di setiap kota seperti telah kuarahkan kepadamu.
6Seorang tua-tua hendaklah tidak bercela, dan beristeri seorang sahaja, manakala anak-anaknya haruslah hidup beriman dan tidak dapat dituduh berkelakuan liar serta ingkar.
7Ini perlu kerana seorang penyelia jemaah memegang tugas mengendalikan pekerjaan Allah. Oleh yang demikian, dia mestilah tidak bercela – tidak menindas orang lain, tidak pemarah, tidak pemabuk, tidak ganas, dan tidak rakus.
8Dia haruslah bersifat mesra, mencintai kebaikan, pandai menguasai diri, tulus, suci dan berdisiplin.
9Dia mesti berpegang teguh kepada perkhabaran yang layak dipercayai serta selaras dengan asas iman. Dengan demikian dapatlah dia menggalakkan orang menerima ajaran yang benar dan menunjukkan kesilapan mereka yang menentang ajaran itu.
10Ini kerana adanya ramai pemberontak, orang yang bercakap kosong dan penipu, terutamanya orang yang dahulunya daripada mazhab persunatan.
11Mulut mereka mesti ditutupkan kerana mereka telah memesongkan seisi keluarga orang dengan mengajar ajaran yang tidak patut – untuk mendapat keuntungan yang haram.
12Seorang nabi mereka dari Kreta pernah berkata, ‘Orang Kreta pembohong. Mereka rakus dan malas laksana binatang buas.’
13Kata-kata itu memang benar. Oleh itu tegurlah dengan tegas sesiapa yang menyebarkan ajaran palsu, supaya mereka tetap berpegang teguh kepada ajaran yang benar,
14dan tidak terpengaruh dengan cerita karut orang Yahudi atau perintah-perintah yang dikenakan oleh orang yang menolak ajaran yang benar.
15Bagi orang yang suci, segala-galanya suci. Sebaliknya bagi orang yang fikirannya dinodai dosa dan tidak percaya akan kebenaran, tiada suatu pun yang suci, kerana jiwa dan hati nuraninya sudah tercemar.
16Mereka mendakwa mereka mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikan dakwaan ini. Mereka terkutuk, ingkar kepada Allah, dan tidak dapat melakukan sesuatu yang baik.