6Kamu juga termasuk dalam golongan itu, kerana Allah telah memanggilmu menjadi umat Isa al-Masih.
7Aku menulis kepada kamu sekalian di Rom, yang dikasihi oleh Allah dan dipanggil menjadi orang salih. Semoga Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih memberimu kasih kurnia dan kesejahteraan.
8Pertama sekali, aku bersyukur kepada Allah Tuhanku melalui Isa al-Masih kerana kamu sekalian, disebabkan seluruh dunia memperkatakan imanmu.
9Allah, yang kusembah sepenuh hati dalam menyebarkan Injil Putera-Nya, menjadi saksiku bahawa aku sentiasa mengingatimu
10dalam doaku, dan memohon semoga dengan izin Allah aku dapat mengunjungimu.
11Aku sungguh ingin berjumpa dengan kamu untuk menyampaikan sesuatu pemberian rohani bagi menguatkanmu;
12maksudku, supaya kita saling meneguhkan semangat: aku mendapat keteguhan daripada imanmu, dan kamu daripada imanku.
13Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, aku telah merancang berkali-kali untuk mengunjungimu, namun hingga kini ada saja aral melintang. Aku ingin agar pelayananku di kalanganmu membuahkan hasil, seperti di kalangan bangsa-bangsa asing yang lain.
14Aku memikul kewajipan terhadap orang Yunani dan yang bukan orang Yunani, yang bertamadun dan yang tidak bertamadun, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan.