Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Lukas - Lukas 4

Lukas 4:29-43

Help us?
Click on verse(s) to share them!
29Mereka bangun lalu mengusir Isa dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah.
30Tetapi Isa berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.
31Kemudian Isa pergi ke kota Kapernaum di jajahan Galilea dan di situlah Dia mengajar orang pada hari Sabat.
32Mereka kagum mendengar ajaran-Nya kerana kata-kata-Nya berwibawa.
33Di dalam saumaah itu ada seorang yang dirasuk oleh roh iblis yang durjana. Dia menjerit dengan nyaring,
34‘Ah, mengapakah Engkau mengganggu kami, Isa, orang Nasaret? Engkau datang untuk membinasakan kamikah? Aku mengetahui siapa Engkau ini – Engkaulah Yang Suci daripada Allah.’
35Isa memarahi roh iblis itu, ‘Diam! Keluar daripada dia!’ Roh iblis itu menghempaskan orang itu di hadapan mereka lalu keluar daripadanya tanpa mencederakannya.
36Mereka semua kehairanan dan berkata sesama sendiri, ‘Betapa hebat kata-kata-Nya! Dengan penuh kewibawaan dan kuasa Dia memerintah roh-roh durjana itu, mereka terus keluar.’
37Maka perkhabaran tentang Isa tersebar ke seluruh daerah itu.
38Isa keluar dari saumaah itu lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mertua Simon sedang demam panas dan mereka memberitahu Isa tentangnya.
39Isa pergi berdiri di tepi katilnya dan mengusir demam itu. Ibu mertua Simon pulih dengan serta-merta lalu bangun dan melayani mereka.
40Pada waktu senja semua orang yang mengidap berbagai-bagai penyakit dibawa kepada Isa. Dia meletakkan tangan-Nya pada setiap orang dan menyembuhkan mereka.
41Roh-roh iblis juga keluar daripada ramai orang dan berteriak, ‘Engkaulah Putera Allah.’ Isa memarahi roh-roh iblis itu dan tidak mengizinkan mereka bercakap kerana mereka mengetahui Dialah al-Masih.
42Ketika fajar menyingsing, Isa meninggalkan kota itu dan pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia, dan apabila mereka menemui-Nya, mereka cuba menahan-Nya daripada meninggalkan mereka.
43Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Aku harus memberitakan perkhabaran yang baik tentang kerajaan Allah di kota-kota lain juga. Itulah sebabnya Aku diutuskan.’

Read Lukas 4Lukas 4
Compare Lukas 4:29-43Lukas 4:29-43