Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Kisah Para Rasul 4:16-33 in Malay (individual language)

Help us?

Kisah Para Rasul 4:16-33 in Kitab Suci Zabur dan Injil

16 ‘Apakah yang akan kita lakukan kepada mereka itu? Sesungguhnya sudah nyata kepada semua orang Baitulmaqdis bahawa satu mukjizat yang mengagumkan telah dilakukan melalui mereka, dan kita tidak dapat menafikannya.
17 Tetapi supaya berita ini tidak tersebar lebih luas di kalangan bangsa kita, eloklah kita melarang mereka berkata-kata lagi kepada sesiapapun dengan menggunakan nama itu.’
18 Dengan demikian mereka pun memanggil kedua-duanya itu dan mengeluarkan perintah jangan sekali-kali bercakap atau mengajar dengan nama Isa.
19 Tetapi Petrus dan Yahya menjawab, ‘Wajarkah pada pandangan Allah jika kami mendengar katamu lebih daripada mendengar kata Allah? Timbangkanlah,
20 kerana kami mesti bercakap tentang segala yang telah kami lihat dan dengar itu.’
21 Setelah membuat beberapa ugutan lagi, mereka melepaskan kedua-dua rasul itu kerana tidak tahu bagaimana hendak menghukum mereka, memandangkan seluruh masyarakat memuji Allah atas apa yang telah dilakukan itu;
22 padahal orang yang disembuhkan melalui mukjizat itu sudah berumur lebih daripada empat puluh tahun.
23 Setelah dilepaskan, Petrus dan Yahya segera pergi mendapatkan rakan-rakannya lalu menceritakan segala yang dikatakan oleh imam-imam besar dan para pemimpin masyarakat itu kepada mereka.
24 Apabila mendengar segalanya, mereka semua berseru dengan satu hati, ‘Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta laut dengan segala isinya,
25 yang melalui lidah hamba-Mu Daud telah berfirman: ‘ “Mengapa bangsa-bangsa asing naik berang dan kaum-kaum berkomplot dengan sia-sia?
26 Raja-raja bumi ini menegakkan pendirian, dan para pemimpin bermuafakat untuk melawan Tuhan dan melawan Dia yang diurapi-Nya.”
27 Sesungguhnya Herodes dan Pontius Pilatus, bersama orang asing dan bangsa Israel telah berhimpun dalam negeri ini melawan Hamba Suci-Mu Isa yang telah Kauurapi,
28 untuk melakukan segala yang sudah ditentukan oleh kuasa dan tujuan-Mu.
29 Ya Tuhan, lihatlah ugutan mereka dan kurniakanlah kepada hamba-hamba-Mu ini, sepenuh keberanian untuk menyampaikan firman-Mu.
30 Hulurkan tangan-Mu untuk menyembuhkan, dan melakukan tanda-tanda ajaib serta mukjizat dengan nama Hamba Suci-Mu Isa.’
31 Setelah mereka berdoa, tempat mereka berhimpun itu bergoncang. Mereka semua dipenuhi dengan Roh Suci dan mengucap firman Allah dengan berani.
32 Semua orang yang sudah percaya itu sehati sejiwa. Tiada seorang pun yang mengatakan sesuatu itu miliknya; mereka berkongsi segalanya.
33 Dengan kuasa yang hebat rasul-rasul itu bersaksi tentang kebangkitan Junjungan Isa. Kasih kurnia besar melimpahi mereka sekalian.
Kisah Para Rasul 4 in Kitab Suci Zabur dan Injil