Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 4

Kisah Para Rasul 4:16-33

Help us?
Click on verse(s) to share them!
16‘Apakah yang akan kita lakukan kepada mereka itu? Sesungguhnya sudah nyata kepada semua orang Baitulmaqdis bahawa satu mukjizat yang mengagumkan telah dilakukan melalui mereka, dan kita tidak dapat menafikannya.
17Tetapi supaya berita ini tidak tersebar lebih luas di kalangan bangsa kita, eloklah kita melarang mereka berkata-kata lagi kepada sesiapapun dengan menggunakan nama itu.’
18Dengan demikian mereka pun memanggil kedua-duanya itu dan mengeluarkan perintah jangan sekali-kali bercakap atau mengajar dengan nama Isa.
19Tetapi Petrus dan Yahya menjawab, ‘Wajarkah pada pandangan Allah jika kami mendengar katamu lebih daripada mendengar kata Allah? Timbangkanlah,
20kerana kami mesti bercakap tentang segala yang telah kami lihat dan dengar itu.’
21Setelah membuat beberapa ugutan lagi, mereka melepaskan kedua-dua rasul itu kerana tidak tahu bagaimana hendak menghukum mereka, memandangkan seluruh masyarakat memuji Allah atas apa yang telah dilakukan itu;
22padahal orang yang disembuhkan melalui mukjizat itu sudah berumur lebih daripada empat puluh tahun.
23Setelah dilepaskan, Petrus dan Yahya segera pergi mendapatkan rakan-rakannya lalu menceritakan segala yang dikatakan oleh imam-imam besar dan para pemimpin masyarakat itu kepada mereka.
24Apabila mendengar segalanya, mereka semua berseru dengan satu hati, ‘Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta laut dengan segala isinya,
25yang melalui lidah hamba-Mu Daud telah berfirman: ‘ “Mengapa bangsa-bangsa asing naik berang dan kaum-kaum berkomplot dengan sia-sia?
26Raja-raja bumi ini menegakkan pendirian, dan para pemimpin bermuafakat untuk melawan Tuhan dan melawan Dia yang diurapi-Nya.”
27Sesungguhnya Herodes dan Pontius Pilatus, bersama orang asing dan bangsa Israel telah berhimpun dalam negeri ini melawan Hamba Suci-Mu Isa yang telah Kauurapi,
28untuk melakukan segala yang sudah ditentukan oleh kuasa dan tujuan-Mu.
29Ya Tuhan, lihatlah ugutan mereka dan kurniakanlah kepada hamba-hamba-Mu ini, sepenuh keberanian untuk menyampaikan firman-Mu.
30Hulurkan tangan-Mu untuk menyembuhkan, dan melakukan tanda-tanda ajaib serta mukjizat dengan nama Hamba Suci-Mu Isa.’
31Setelah mereka berdoa, tempat mereka berhimpun itu bergoncang. Mereka semua dipenuhi dengan Roh Suci dan mengucap firman Allah dengan berani.
32Semua orang yang sudah percaya itu sehati sejiwa. Tiada seorang pun yang mengatakan sesuatu itu miliknya; mereka berkongsi segalanya.
33Dengan kuasa yang hebat rasul-rasul itu bersaksi tentang kebangkitan Junjungan Isa. Kasih kurnia besar melimpahi mereka sekalian.

Read Kisah Para Rasul 4Kisah Para Rasul 4
Compare Kisah Para Rasul 4:16-33Kisah Para Rasul 4:16-33