Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 9:16-40 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 9:16-40 in Kitab Suci Zabur dan Injil

16 Sebilangan orang Farisi itu berkata, ‘Dia bukan daripada Allah, kerana Dia melanggar peraturan hari Sabat.’ Tetapi ada pula yang berkata, ‘Kalau Dia orang berdosa, bagaimana Dia dapat melakukan mukjizat begini?’ Dengan demikian timbullah perselisihan pendapat di kalangan mereka.
17 Orang Farisi bertanya lagi kepada orang yang dahulunya buta itu, ‘Kamu berkata Dia menyembuhkan matamu. Bagaimana pendapatmu tentang Dia?’ Orang itu menjawab, ‘Dia seorang nabi.’
18 Orang Yahudi enggan percaya bahawa orang itu dahulu buta matanya. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya.
19 Mereka bertanya, ‘Benarkah dia anak kamu yang buta sejak lahir? Bagaimana pula dia boleh celik?’
20 Ibu bapa orang itu menjawab, ‘Ya, benar dia anak kami yang buta sejak lahir.
21 Tetapi kami tidak tahu bagaimana dia dapat melihat sekarang dan siapa yang menyembuhkan matanya. Dia sudah dewasa, tanyalah dia. Dia dapat menjawab sendiri.’
22 Ibu bapa orang itu berkata demikian kerana takut akan orang Yahudi itu yang telah bersetuju bahawa sesiapa yang mengakui Isa itu al-Masih akan disingkirkan dari saumaah.
23 Maka itulah ibu bapanya berkata, ‘Dia sudah dewasa, tanyalah dia.’
24 Mereka pun memanggil orang itu lagi dan berkata, ‘Akuilah kemuliaan Allah! Kamu tahu Dia itu orang berdosa.’
25 Dia menjawab, ‘Sama ada Dia orang berdosa atau tidak, aku tidak tahu. Yang kutahu, dulu aku buta, sekarang aku dapat melihat.’
26 Mereka bertanya lagi, ‘Apa yang dibuat-Nya kepadamu? Bagaimana Dia mencelikkan matamu?’
27 Dia menjawab, ‘Aku telah pun memberitahumu, tetapi kamu tidak mendengar. Mengapakah kamu hendak mendengarnya lagi? Adakah kamu ingin menjadi pengikut-Nya juga?’
28 Mereka mencacinya dan berkata, ‘Kamulah pengikut-Nya. Kami pengikut Musa.
29 Kami tahu Allah berfirman kepada Musa. Orang itu, tiada siapa yang tahu dari mana Dia datang.’
30 ‘Hairan sekali,’ kata orang yang dahulunya buta itu. ‘Kamu tidak tahu dari mana Dia datang, tetapi Dia telah mencelikkan mataku!
31 Kita tahu bahawa Allah tidak mendengar permintaan orang berdosa. Tetapi jika seseorang takut akan Allah dan melakukan kehendak-Nya, Allah akan mendengar permintaan-Nya.
32 Sejak permulaan dunia, belum pernah kedengaran kisah orang yang dapat mencelikkan mata orang yang buta sejak lahir.
33 Jika orang itu bukan daripada Allah, tidaklah dapat Dia melakukannya.’
34 Mereka berkata kepadanya, ‘Kamu orang berdosa sejak lahir. Kamu hendak cuba mengajar kami?’ Mereka pun menghalaunya keluar.
35 Isa mendengar bahawa mereka telah menghalaunya keluar, dan selepas menemuinya, Dia bertanya, ‘Adakah kamu percaya kepada Putera Insan?
36 Orang itu menjawab, ‘Siapakah Dia, Junjungan? Katakanlah kepadaku, supaya aku dapat percaya kepada-Nya.’
37 Isa berkata, ‘Kamu sudahpun melihat-Nya. Dialah yang sedang bercakap denganmu sekarang.’
38 Orang itu berkata, ‘Ya Junjungan, aku percaya.’ Dia pun sujud kepada Isa.
39 Isa berkata, ‘Aku datang ke dunia ini untuk menghakimi manusia; supaya orang buta dapat melihat, manakala orang yang dapat melihat pula buta.’
40 Ketika orang Farisi di situ mendengar kata-kata Isa, mereka bertanya kepada-Nya, ‘Adakah Kaumaksudkan kami juga buta?’
Yahya 9 in Kitab Suci Zabur dan Injil