42 Isa berkata kepada mereka, ‘Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya.
43 Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku.
44 Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta.
45 Sebaliknya aku menyampaikan kebenaran, maka itulah kamu tidak mahu percaya kepada-Ku.
46 ‘Siapakah antaramu yang dapat membuktikan Aku berdosa? Jika Aku berkata benar, mengapa kamu tidak mempercayai-Ku?
47 Orang yang daripada Allah mendengar firman Allah. Kamu tidak mendengarnya, kerana kamu bukan daripada Allah.’
48 Orang Yahudi berkata, ‘Tidakkah benar kami katakan, Kamu ini orang Samaria dan dirasuk roh iblis?’
49 Isa menjawab, ‘Aku tidak dirasuk roh iblis. Aku memuliakan Bapa-Ku, tetapi kamu menghina-Ku.
50 Aku tidak mencari kemuliaan untuk diri-Ku, tetapi Dia yang mencarinya untuk-Ku, dan Dia akan menghakimi.
51 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.’
52 Orang Yahudi berkata kepada-Nya, ‘Sekarang tahulah kami bahawa Kamu dirasuk roh iblis! Ibrahim sudah mati, begitu juga nabi-nabi. Tetapi Kamu berkata, “Sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.”
53 Adakah Kamu lebih besar daripada bapa kami Ibrahim yang sudah mati? Nabi-nabi juga sudah mati. Kamu sangka Kamu ini siapa?’