27 Mereka tidak faham bahawa selama ini Isa bercakap tentang Bapa.
28 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Apabila kamu meninggikan Putera Insan, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa.
29 Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.’
30 Setelah mendengar kata-kata Isa, ramai orang percaya kepada-Nya.
31 Isa berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, ‘Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu pengikut-Ku yang sejati.
32 Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.’
33 Mereka berkata, ‘Kami keturunan Ibrahim. Kami belum pernah diperhambakan. Apakah maksud kata-kata-Mu, “Kamu akan dibebaskan”?’
34 Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa.
35 Seorang hamba tidak mempunyai kedudukan kekal dalam sebuah keluarga, tidak seperti seorang anak yang selama-lamanya anggota keluarga itu.
36 Dengan demikian, jika Putera membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya.
37 Aku tahu kamu keturunan Ibrahim, tetapi kamu ingin membunuh-Ku kerana kata-kata-Ku tidak mendapat tempat dalam dirimu.
38 Aku menyampaikan apa yang dinyatakan oleh Bapa-Ku. Demikian juga kamu melakukan apa yang disampaikan oleh bapamu.’
39 Mereka menjawab, ‘Bapa kami Ibrahim.’ Tetapi Isa berkata, ‘Sekiranya kamu benar-benar anak Ibrahim, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Ibrahim.