Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 8:13-32 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 8:13-32 in Kitab Suci Zabur dan Injil

13 Lalu orang Farisi yang hadir berkata kepada Isa, ‘Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah.’
14 Isa menjawab, ‘Walaupun Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi.
15 Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapapun.
16 Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama-Ku.
17 Ada tersurat di dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah.
18 Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberi kesaksian tentang diri-Ku.’
19 Oleh itu mereka bertanya, ‘Di manakah Bapa-Mu itu?’ Isa menjawab, ‘Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga.’
20 Isa mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di rumah ibadat. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai.
21 Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Aku akan pergi dan kamu akan mencari-Ku, tetapi kamu akan mati dalam dosamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’
22 Lalu orang Yahudi berkata, ‘Adakah Dia hendak membunuh diri?’ Kerana Dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’
23 Isa berkata, ‘Kamu datang dari bawah; Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia.
24 Itulah maka Kukatakan kepadamu, kamu akan mati dalam dosamu. Memanglah kamu akan mati dalam dosamu jika kamu tidak percaya bahawa Akulah Dia yang Kukatakan.’
25 ‘Siapa Kamu ini?’ tanya mereka. Isa menjawab, ‘Akulah Dia yang telah Kukatakan kepadamu dari mula lagi.
26 Ada banyak lagi yang perlu Kukatakan dan Kuadili tentangmu. Tetapi Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai. Aku menyampaikan kepada dunia apa yang Kudengar daripada-Nya.’
27 Mereka tidak faham bahawa selama ini Isa bercakap tentang Bapa.
28 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Apabila kamu meninggikan Putera Insan, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa.
29 Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.’
30 Setelah mendengar kata-kata Isa, ramai orang percaya kepada-Nya.
31 Isa berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, ‘Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu pengikut-Ku yang sejati.
32 Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.’
Yahya 8 in Kitab Suci Zabur dan Injil