10 Isa meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada perempuan itu, ‘Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang mengutukmu?’
11 Perempuan itu menjawab, ‘Tidak ada, Junjungan.’ Isa berkata, ‘Aku pun tidak menghukummu. Pergilah, jangan berbuat dosa lagi.’
12 Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.’
13 Lalu orang Farisi yang hadir berkata kepada Isa, ‘Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah.’
14 Isa menjawab, ‘Walaupun Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi.
15 Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapapun.
16 Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama-Ku.
17 Ada tersurat di dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah.
18 Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberi kesaksian tentang diri-Ku.’
19 Oleh itu mereka bertanya, ‘Di manakah Bapa-Mu itu?’ Isa menjawab, ‘Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga.’
20 Isa mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di rumah ibadat. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai.
21 Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Aku akan pergi dan kamu akan mencari-Ku, tetapi kamu akan mati dalam dosamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’
22 Lalu orang Yahudi berkata, ‘Adakah Dia hendak membunuh diri?’ Kerana Dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’