Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 7:23-46 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 7:23-46 in Kitab Suci Zabur dan Injil

23 Kiranya seorang anak lelaki boleh disunatkan pada hari Sabat kerana tidak mahu melanggar hukum Musa, mengapakah kamu marah kepada-Ku kerana menyembuhkan seluruh tubuh seseorang pada hari Sabat?
24 Janganlah hakimi seseorang berdasarkan apa yang dilihat. Hakimilah dengan adil.’
25 Sebilangan penduduk Baitulmaqdis berkata, ‘Bukankah orang ini yang dicari oleh mereka untuk dibunuh?’
26 Lihatlah, Dia bercakap di hadapan orang ramai, tetapi mereka diam sahaja. Adakah para pemerintah itu benar-benar tahu bahawa Dia al-Masih?
27 Orang ini, kita tahu tempat asal-Nya.’ Tetapi, apabila al-Masih datang, tiada siapa yang tahu akan tempat asal-Nya.’
28 Ketika Isa mengajar di rumah ibadat, Dia berseru dengan suara lantang, ‘Kamu tentu mengenal siapa Aku dan di mana tempat asal-Ku. Aku datang bukanlah dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai, tetapi kamu tidak mengenal-Nya.
29 Aku mengenal-Nya kerana Dialah yang mengutus-Ku dan Aku datang daripada-Nya.’
30 Selepas itu, mereka cuba menangkap Isa. Tetapi tiada seorang pun memegang-Nya kerana saat-Nya belum sampai.
31 Sebilangan besar orang ramai itu percaya kepada Isa. Mereka berkata, ‘Apabila al-Masih datang, adakah dia akan melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?’
32 Apabila bisikan orang ramai didengar oleh orang Farisi, mereka dan para ketua imam pun menyuruh beberapa orang pengawal rumah ibadat menangkap Isa.
33 Namun, Isa berkata, ‘Aku akan bersamamu sebentar sahaja. Selepas itu Aku akan pulang kepada Dia yang mengutus-Ku.
34 Kamu akan mencari-Ku, tetapi tidak dapat menemui-Ku, kerana kamu tidak boleh datang ke tempat Aku berada.’
35 Orang Yahudi berkata sesama sendiri, ‘Ke manakah Dia hendak pergi sehingga kita tidak dapat menemui-Nya? Adakah Dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di perantauan di kalangan orang Yunani untuk mengajar orang Yunani?’
36 Apakah maksud kata-kata-Nya, “Kita akan mencari-Nya tetapi tidak dapat menemui-Nya kerana kita tidak boleh pergi ke tempat Dia berada”?’
37 Pada hari terakhir perayaan itu, iaitu hari yang terutama, Isa berdiri lalu berkata dengan suara lantang, ‘Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum.’
38 Sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup.”’
39 (Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Roh Suci yang akan diterima kelak oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu Roh Suci belum dikurniakan, kerana Isa belum dimuliakan.)
40 Sebilangan orang yang mendengar kata-kata Isa berkata, ‘Sudah tentu orang inilah Nabi itu!’
41 Ada pula yang berkata, ‘Dialah al-Masih yang diutus oleh Allah.’ Sebaliknya, ada yang berkata, ‘Al-Masih yang diutus oleh Allah bukan dari Galilea.
42 Menurut Kitab Suci, al-Masih yang diutus Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Baitlahim, tempat asal Raja Daud.’
43 Demikianlah mereka berbalah lalu berpihak-pihak kerana Isa.
44 Beberapa orang ingin menangkap-Nya, namun tiada siapapun menyentuh-Nya.
45 Kemudian para pengawal rumah ibadat datang kepada para ketua imam dan orang Farisi. Lalu mereka bertanya kepada para pengawal rumah ibadat itu, ‘Mengapakah kamu tidak membawa Dia ke sini?’
46 Para pengawal itu menjawab, ‘Belum pernah seseorang bercakap seperti-Nya!”
Yahya 7 in Kitab Suci Zabur dan Injil