Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 6:28-53 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 6:28-53 in Kitab Suci Zabur dan Injil

28 Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?’
29 Isa berkata, ‘Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.’
30 Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan?
31 Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci: “Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.” ’
32 Lalu Isa berkata, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga.
33 Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.’
34 Kemudian mereka berkata, ‘Junjungan, berilah kami roti itu selalu.’
35 Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Roti Hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.
36 Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku.
37 Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku.
38 Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.
39 Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberi kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir.
40 Demikianlah kehendak Bapa-Ku iaitu setiap orang yang melihat Putera-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.’
41 Orang Yahudi di situ mula merungut sesama sendiri menentang Isa kerana kata-katanya, ‘Akulah roti yang turun dari syurga.’
42 Mereka berkata, ‘Bukankah Dia Isa, anak Yusuf, dan ibu bapa-Nya kita kenal? Bagaimana Dia boleh mengaku, “Aku turun dari syurga”?’
43 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Janganlah merungut sesama sendiri.
44 Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.
45 Ada tersurat di dalam tulisan para nabi: “Semua manusia akan diajar oleh Allah.” Dengan demikian, seorang yang mendengar dan belajar daripada Bapa akan datang kepada-Ku.’
46 Tidak seorang pun pernah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah telah melihat Bapa.
47 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal.
48 Akulah roti hidup.
49 Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga.
50 Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati.
51 Akulah Roti Hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini adalah tubuh-Ku.’
52 Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri ‘Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?’
53 Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Putera Insan dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu.
Yahya 6 in Kitab Suci Zabur dan Injil