Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 5:4-27 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 5:4-27 in Kitab Suci Zabur dan Injil

4 Sekali-sekala malaikat Tuhan akan turun mengocak air kolam itu. Sesiapa yang pertama masuk ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak akan sembuh daripada penyakitnya.
5 Di kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah sakit selama tiga puluh lapan tahun.
6 Isa melihatnya terbaring di situ dan mengetahui bahawa dia telah sakit demikian lamanya. Isa bertanya kepadanya, ‘Inginkah kamu sembuh?’
7 Orang sakit itu menjawab, ‘Tuan, tiada siapapun di sini yang dapat memasukkan aku ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak. Setiap kali aku cuba masuk, orang lain telah masuk dulu.’
8 Isa berkata kepadanya, ‘Bangun, angkat tikarmu, dan berjalanlah.’
9 Serta-merta orang itu sembuh lalu mengangkat tikarnya dan berjalan. Perkara itu terjadi pada hari Sabat.
10 Oleh yang demikian, orang Yahudi berkata kepada orang itu, ‘Ini hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar.’
11 Orang itu menjawab, ‘Orang yang menyembuhkanku tadi menyuruh aku mengangkat tikar dan berjalan.’
12 Mereka pun bertanya, ‘Siapakah Dia yang menyuruhmu mengangkat tikar dan berjalan itu?’
13 Akan tetapi orang yang baru disembuhkan itu tidak dapat menunjukkan yang mana orangnya, kerana Isa telah menghilang di antara orang ramai di situ.
14 Tidak lama selepas itu, Isa bertemu dengan orang itu di dalam rumah ibadat dan berkata kepadanya, ‘Sekarang kamu sudah sembuh. Jangan berbuat dosa lagi, supaya kamu tidak menerima padah yang lebih teruk.’
15 Orang itu kemudiannya memberitahu orang Yahudi bahawa Isalah yang telah menyembuhkannya.
16 Dengan demikian, mereka mula memusuhi Isa kerana menyembuhkan orang pada hari Sabat.
17 Namun, Isa berkata kepada mereka, ‘Bapa-Ku masih bekerja hingga sekarang, maka begitulah juga Aku.’
18 Kata-kata-Nya ini mengukuhkan lagi niat orang Yahudi hendak membunuh-Nya. Bukan sahaja Dia melanggar hukum hari Sabat, malah juga mengatakan Allah itu Bapa-Nya, iaitu menyamakan diri-Nya dengan Allah.
19 Isa menjawab kata-kata mereka, ‘Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, Putera tidak dapat melakukan sesuatu oleh diri-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Putera,
20 kerana Bapa kasih akan Putera dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada Putera-Nya. Bapa akan menyatakan hal-hal yang lebih besar lagi kepada Putera, sehingga kamu semua menjadi hairan.
21 Bapa membangkitkan manusia daripada kematian dan memberi hidup, maka demikian jugalah Putera-Nya memberi hidup kepada mereka yang dikehendaki-Nya.
22 Bapa tidak menghakimi sesiapa. Dia telah menyerahkan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya.
23 Dengan demikian, semua orang menghormati Putera sebagaimana mereka menghormati Bapa. Jika sesiapa tidak menghormati Putera, ertinya dia tidak menghormati Bapa yang mengutus-Nya.
24 ‘Sesungguhnya aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar.
25 ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, akan tiba saatnya, malah sudahpun sampai, ketika orang mati mendengar suara Putera Allah, dan orang yang mendengar suara-Nya akan hidup.
26 Bapa sumber hidup, maka Dia menjadikan Putera-Nya juga sumber hidup.
27 Bapa telah memberikan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya, kerana Dia itu Putera Insan.
Yahya 5 in Kitab Suci Zabur dan Injil