19 Isa menjawab kata-kata mereka, ‘Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, Putera tidak dapat melakukan sesuatu oleh diri-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Putera,
20 kerana Bapa kasih akan Putera dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada Putera-Nya. Bapa akan menyatakan hal-hal yang lebih besar lagi kepada Putera, sehingga kamu semua menjadi hairan.
21 Bapa membangkitkan manusia daripada kematian dan memberi hidup, maka demikian jugalah Putera-Nya memberi hidup kepada mereka yang dikehendaki-Nya.
22 Bapa tidak menghakimi sesiapa. Dia telah menyerahkan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya.
23 Dengan demikian, semua orang menghormati Putera sebagaimana mereka menghormati Bapa. Jika sesiapa tidak menghormati Putera, ertinya dia tidak menghormati Bapa yang mengutus-Nya.
24 ‘Sesungguhnya aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar.
25 ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, akan tiba saatnya, malah sudahpun sampai, ketika orang mati mendengar suara Putera Allah, dan orang yang mendengar suara-Nya akan hidup.
26 Bapa sumber hidup, maka Dia menjadikan Putera-Nya juga sumber hidup.
27 Bapa telah memberikan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya, kerana Dia itu Putera Insan.
28 ‘Janganlah hairan mendengar hal ini kerana akan sampai saatnya bagi semua orang mati mendengar suara-Nya.
29 Mereka akan terus bangkit dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit untuk mendapat hidup kekal dan orang yang berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum.